Jangan hina orang di internet - AMARAN SKMM

Pengguna internet tidak sepatutnya menyalahguna laman sosial untuk mencerca orang lain terutama pemimpin negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Beliau berkata pengguna internet yang rata-rata terdiri daripada golongan bijak pandai seharusnya tidak menyiar atau membangkitkan isu-isu yang boleh menimbulkan suasasa tegang di kalangan masyarakat.

“Sebenarnya jika mereka menggunakan kemudahan itu untuk mencerca orang, ia seolah-olah melabur saham untuk dosa di akhirat atas apa yang mereka lakukan, sedangkan orang yang kena cerca tidak apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas karikator di laman sosial berhubung ‘pm kangkong’ semasa ditemui pada majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Pergerakan Wanita Umno Hulu Terengganu di sini hari ini.

Jailani berkata mereka yang tidak bertanggungjawab itu sebenarnya sudah tiada idea untuk menghentam kerajaan.

“Ini kerana kerajaan sudah melakukan apa sahaja untuk rakyat seperti memberi bantuan kepada semua mangsa banjir termasuk mereka yang menyokong pembangkang,” katanya.

Berhubung Jawatankuasa Pemantau Harga Barang yang ditubuhkan kerajaan, Jailani berkata jawatankuasa itu penting untuk menstabilkan harga barang supaya tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh peniaga.

“Dengan adanya jawatankuasa itu, orang ramai boleh membuat aduan jika ada peniaga menaikkan harga barang yang melampaui batas,” katanya. – BERNAMA