Katanya, sikap segelintir anggota polis yang lalai ketika menjalankan
tugas atau berkelakuan tidak senonoh telah mencalarkan imej baik
pasukan polis
Wan Junaidi berkata, demikian sebagai mengulas lanjut kes rompakan
kereta bersenjata di Jalan Satok di sini minggu lalu, di mana perompak
berkenaan menggunakan pistol yang dicuri daripada seorang inspektor
polis yang mabuk.
“Dia (pegawai polis) mungkin ada menjalankan tugas di sini tetapi
silapnya selepas bertugas dia pergi berhibur dan membawa senjata
bersamanya.
“Lagi pun dia memandu dan tidur di dalam keretanya di tepi jalan,”
kata Wan Junaidi kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada
empat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Pulo di sini.
Wan Junaidi menyifatkan sikap pegawai polis terbabit sebagai sangat
menyedihkan sambil berkata pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri
tidak akan berkompromi dengan keadaan seperti itu.
Beliau berkata, tidakan disiplin akan ambil terhadap pegawai polis terbabit.
Wan Junaidi turut menyatakan rasa bimbang beliau kerana dalam masa
seminggu terdapat dua kes membabitkan pegawai polis mabuk termasuk
membabitkan kes kecurian senjata daripada pegawai yang mabuk.
Beliau bagaimanapun memuji tindakan pantas pihak polis kerana berjaya
memberkas kedua-dua pencuri terabit dan menemui semula pistol yang
hilang.
“Saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negara bagaimana untuk
tingkatkan disiplin anggota polis, khsusnya bagi membendung gejala mabuk
di kalangan anggota polis semasa bertugas.
“Kita tidak boleh menghalang mereka yang bukan beragama Islam
daripada minum minuman keras tetapi minumlah secara berpatutan dan bukan
semasa sedang menjalankan tugas agar tidak membahayakan diri sehingga
tidak boleh menjaga keselamatan awam,” tambahnya.
Wan Junaidi berkata, sebagai pegawai polis yang diamanahkan untuk
menjaga ketenteraman awam, mereka sepatutnya menunjukkan sikap yang baik
yang boleh dicontohi masyarakat umum.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kewangan masing-masing
RM8,500 dan RM11,100 daripada Tabung Baitumal Sarawak (TBS) dan Pusat
Khidmat Barisan Nasional Santubong serta enam kampit beras sumbangan
Bernas kepada keluarga mangsa kebakaran itu. – BERNAMA