ALOR SETAR - Kerajaan negeri memulakan
langkah penjimatan dengan mengamalkan konsep perbelanjaan berhemah
sehingga menjimatkan RM100 juta daripada perbelanjaan mengurus tanpa
menjejaskan rancangan pembangunan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, langkah ia
turut memudahkan kerajaan negeri merancang dan memberi fokus kepada
usaha membasmi kemiskinan di negeri itu.
"Daripada penghapusan bayaran lesen penjaja kepada pengupayaan rakyat
dengan program pembangunan usahawan dan pinjaman mudah mikro kredit,
semua perancangan ini dirangka untuk meringankan beban rakyat.
"Berdasarkan data e-Kasih, 3,416 kes miskin tegar, miskin dan mudah
miskin berjaya dikeluarkan daripada kesemua kategori tersebut. Namun,
masih banyak perlu dilakukan bagi membantu golongan miskin tegar dan
miskin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis istiadat menyembah
tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran sempena hari
keputeraan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang ke-86 di
Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Menurut Mukhriz, sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri,
beliau bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah mencari
jalan dan berusaha gigih untuk menambah hasil pendapatan negeri.
"Asas utama kami adalah dengan mencari sumber pendapatan baharu dan
mempertingkatkan usaha mendapatkan bayaran premium yang sebelum ini
belum dikutip.
"Peningkatan pendapatan ini telah bertambah daripada RM418 juta
kepada RM514 juta malah unjuran hasil bagi tahun 2014 adalah RM724
juta," katanya.
Tambah beliau, peningkatan pendapatan itu akan diperoleh melalui daya
usaha yang gigih, penyemakan segera hasil sedia ada dan 17 sumber
baharu hasil cetusan minda daripada Makmal Transformasi Kedah yang telah
dianjurkan. -Utusan