BANDAR BAHARU - Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan
capaian internet dalam kalangan penduduk sehingga ke tahap lebih tinggi
berbanding sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi
dan Teknologi Tinggi negeri, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata,
antara usaha diambil adalah menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta
untuk memajukan kemudahan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, langkah itu penting untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan luar bandar.
"Penduduk negeri ini kini mempunyai kemahiran menggunakan teknologi
maklumat yang tinggi. Hal ini kerana kebanyakan rumah sama ada di bandar
mahupun luar bandar mempunyai talian internet tetap dan tanpa wayar
serta telefon pintar.
"Namun begitu, kita terus berusaha memastikan capaian internet ditingkatkan ke tahap tertinggi.
"Bagi kawasan luar bandar khususnya, kerajaan mewujudkan Pusat
Internet 1Malaysia (PI1M) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Jalur
Lebar Komuniti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari
Terbuka Pusat Internet 1Malaysia di Felda Gunung Bongsu, dekat sini
baru-baru ini.
Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu
berkata, antara perkhidmatan yang disediakan di PI1M adalah capaian
internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan WiFi bagi
capaian penduduk sekitar.
Tambahnya, PI1M juga menyediakan perkhidmatan faks, pencetak, program
latihan ICT dan pembangunan modal insan serta aktiviti berkaitan yang
dikendali oleh pengurus dan pembantu pengurus. -Utusan