Wakil keluarga pasangan Malaysia yang ditahan atas dakwaan memukul
anak kerana tidak bersolat mendakwa pihak berkuasa Sweden masih tidak
membenarkan mereka menemui suami isteri itu walaupun sudah memasuki hari
ke-32 direman tanpa perbicaraan.
Sumber yang tidak mahu dikenali itu mendakwa sejak ditahan 18
Disember lepas, beliau dan anggota keluarga lain cuba melawat pasangan
itu di penjara Sweden namun tidak dibenarkan.
“Dia ditahan reman di penjara sejak 18 Disember 2013
sementara menunggu siasatan, begitu juga dengan suaminya. (Pada mulanya)
pendengaran reman ditetapkan pada 2 Januari 2014 menerusi televisyen
jadi kami tidak dapat menemui dia dan suami di penjara berasingan.
“Pendengaran reman ditangguhkan pula kepada 16 Januari,
selepas itu ditangguhkan lagi selama dua minggu (akhir bulan ini),”
katanya ketika dihubungi.
Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal, guru yang
bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember untuk membantu siasatan
kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak
bersolat.
Sumber tersebut yang bersedih dengan kejadian yang menimpa keluarga
mereka berharap pihak berkuasa Sweden dapat bertimbang rasa dan
membenarkan mereka melawat pasangan terbabit secepat mungkin.
Sementara itu, seorang lagi anggota keluarga terdekat yang juga
enggan dikenali berkata untuk menemui empat anak pasangan itu,
permohonan perlu dibuat terlebih dahulu menerusi peguam kanak-kanak
terbabit di Sweden.
“Kami sudah pun membuat permohonan kepada pihak peguam di sana. Pihak
berkuasa Sweden sudah lantik peguam untuk Encik Azizul (bapa) ada satu
peguam, Shalwati (ibu) ada satu peguam, anak-anak (empat beradik) ada
satu peguam.
“Ini kerana di Sweden ada dua mahkamah, satu mahkamah jenayah, satu
lagi mahkamah pentadbiran, anak-anak ini di bawah mahkamah pentadbiran,
kalau hendak berjumpa mesti mendapat kebenaran daripada pihak social
service (Khidmat Sosial Sweden) dahulu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pihak berkuasa Sweden telah
memberi kebenaran kepada wakil anggota keluarga untuk berjumpa dengan
empat beradik itu, bagaimanapun beliau difahamkan pertemuan itu hanya
boleh dilakukan selepas siasatan selesai dijalankan.
“Siasatan sekarang masih berjalan, jadi kami tidak dibenarkan
untuk berjumpa lagi… Dia (Sweden) cakap selagi siasatan dijalankan kita
tidak boleh berjumpa budak-budak itu, itu apa yang diarahkan oleh pihak
berkuasa Sweden,” katanya.
Mengulas rayuan empat beradik itu supaya diletakkan dalam penjagaan
keluarga Melayu Islam dari Malaysia, beliau berkata pihaknya masih belum
menerima tarikh perbicaraan berhubung penjagaan kanak-kanak itu.
“Pihak berkuasa Sweden bukan boleh hantar macam itu sahaja, mereka
perlu dibawa ke mahkamah, mahkamah pentadbiran yang akan buat keputusan,
pada keluarga mana yang nak dihantar.
“Jadi kita masih belum dapat tarikh perbicaraan tentang custody
(penjagaan) anak-anak ini di mahkamah lagi. Kita kena tunggu lagi
sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, rakyat Malaysia turut menyatakan simpati dan sokongan
kepada pasangan itu melalui Twitterjaya, komuniti perbincangan dan
diskusi mengenai isu semasa di hashtag #SwedenLetThemGo dan
#BringThemBack, semalam.
Antaranya @klubbkiddkl, “There is no need to talk of discrimination
or religion.
#SwedenLetThemGo is about getting back our family, our
Malaysians TOGETHER! Respect laws of other nations and how they run it.
We just want Azizul and Shalwati to be reunited with their four
children.
Komen lain adalah @KhairulARahmat, “Jika benar Sweden dokong hak
asasi, maka satukan kembali keluarga Saudara Azizul Raheem Awalludin dan
Ketua Pemuda Gerakan Nasional,Tan Keng Liang ; “Agree we should respect
Sweden’s law. But sometimes, Swedish should learn humanity. Allow the
kids to go back Malaysia.” – Bernama