TAK PEDULI UNDANG-UNDANG-SENSITIVITI, PERSATUAN KRISTIAN TERUS CABAR ISLAM





Sebanyak 321 nashkah kitab Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban dirampas manakala dua pegawai Persatuan Bible Malaysia ditahan dalam serbuan pasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas pejabat persatuan berkenaan di Damansara, Petaling Jaya jam 2 petang Khamis, lapor bnbbc.my.


Ketika serbuan, pekerja persatuan itu sedang membawa masuk barangan, tetapi pejabat mereka tidak dibuka.

Kira-kira 20 penguatkuasa JAIS bersama dua anggota polis yang tiba meminta untuk pintu dibuka untuk masuk tetapi tidak dibenarkan sehinggalah pegawai bernama ‘Lee’ tiba dan membenarkan lima pengawai JAIS masuk ke pejabat persatuan itu.

Penguatkuasa JAIS kemudiannya bertindak merampas 321 nashkah Bible berkenaan manakala ‘Lee’ dan seorang lagi pegawai bernama ‘Simon’ dibawa ke Balai Polis Damansara.

‘Lee’ merujuk kepada Lee Min Choon, Pengerusi Persatuan Bible Malaysia dan ‘Simon’ pula merujuk kepada Simon Wong, Setiausaha persatuan yang sama.

Namun, portal Malaysiakini melaporkan yang dibawa ke balai polis adalah Lee dan pengarah pejabat urusan persatuan itu bernama Sinclair Wong.

Kes berkenaan dipercayai ada kaitan dengan penggunaan kalimah Allah dalam nashkah Bible Bahasa Melayu dan Iban itu yang diimport dari Indonesia.

Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd Saad minggu lalu berkata beliau akan menghantar surat kepada semua gereja di Selangor untuk mengingatkan mereka agar mematuhi Enakmen 1988 mengenai Agama Bukan Islam di Selangor yang melarang orang bukan Muslim dari menggunakan kalimah Allah.

Enakmen 1988 yang menyentuh mengenai Kawalan Penyebaran Agama kepada Orang Muslim yang diluluskan pada tahun 1988, melarang orang bukan Muslim di Selangor menggunakan 35 perkataan Arab dan ungkapan dalam agama mereka, termasuk “Allah”, “Nabi”, “Injil” dan “Insya’Allah”.

Sementara itu, Bernama melaporkan Polis Selangor akan mengambil keterangan Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew susulan laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak berhubung kenyataannya mengenai kalimah Allah.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata bagaimanapun sebelum berbuat demikian pihaknya akan terlebih dahulu berbincang dengan Majlis Agama Islam Selangor.

“Polis akan panggil paderi itu untuk direkodkan kenyataannya tapi tarikhnya belum diketahui lagi,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Mohd Shukri menegaskan proses itu merupakan sebahagian daripada proses mengumpul maklumat bagi melengkapkan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh pihak yang berkenaan.

“Berapa banyak laporan polis saya belum muktamadkan lagi tetapi sudah menjadi standard operasi polis iaitu setiap laporan kita terima, kita akan siasat termasuk laporan berhubung isu penggunaan kalimah Allah ini,” katanya.

Laporan polis itu dibuat susulan kenyataan paderi berkenaan yang disiarkan oleh sebuah portal berita pada 27 Dis lalu bahawa pihaknya tetap akan menggunakan kalimah Allah di semua gereja di Selangor.

Kenyataan paderi itu dianggap biadab kerana bukan sahaja tidak mematuhi keputusan mahkamah tetapi juga mengingkari titah Sultan Selangor yang melarang orang bukan Islam di negeri berkenaan menggunakan kalimah Allah, selaras dengan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.