Merujuk kepada artikel yang di tulis dalam salah satu blog pro
pembangkang hari ini kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Lim
Guan Eng dan DAP akan membenarkan penggunaan kalimah Allah serta 40
perkataan suci kepada bukan Islam dalam masa terdekat.
Apakah ini merupakan satu lagi tindakan pihak-pihak yang
berkepentingan dalam usaha menyokong gerakan tuntutan penggunaan kalimah
Allah oleh pihak bukan Islam di Malaysia ?
Paling memeranjatkan adalah kenyataan ketua menteri Lim Guan Eng yang
pada dasarnya telah bersetuju untuk membenarkan penggunaan kalimah
Allah untuk bible berbahasa Melayu.
Malah pimpinan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang di beritakan sudah
pun bermesyuarat dan akan menolak larangan penggunaan 40 perkataan suci
untuk kegunaan bukan Islam di negeri ini termasuklah penggunaan nama
Allah yang telah di buat oleh Mufti Negeri Pulau Pinang.
Sebelum itu Undang-undang Syariah Pulau Pinang melarang penggunaan 40
perkataan suci Islam termasuk kalimah “Allah” daripada digunakan oleh
orang bukan Islam.
Mufti Pulau Pinang menegaskan terdapat 40 perkataan yang tidak boleh
digunakan dalam bentuk tulisan oleh orang bukan Islam di negeri itu.
Antara perkataan yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam ialah ‘Allah, ‘solat’, ‘surau’ dan ‘masjid’.
Larangan itu diperuntukkan di bawah sub seksyen 48 (3) dan (4)
Enakmen Pulau Pinang Pentadbiran Agama Islam 2004, eksklusif hanya
kepada umat Islam.
Lain-lain perkataan ialah ‘Firman Allah, Ulama, Hadis, Ibadah,
Kaabah, Qadhi, Illahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji Mufti,
Rasul, Iman, Dakwah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi, Sheikh, Khutbah, Tabligh,
Akhirat, Azan, Al Quran, Sunnah, Auliya, Karamah, Syahadah Baitullah,
Surau, Zakat Fitrah, Hajjah, Taqwa dan Soleh’.
Jurucakap Jabatan Mufti Pulau Pinang berkata, selain dilarang
daripada menggunakan kata-kata, orang bukan Islam juga dilarang untuk
menulis atau menyiarkan apa-apa perkataan dalam apa-apa bentuk versi
atau terjemahan dalam apa-apa bahasa.
Malah larangan tersebut turut diperluaskan kepada untuk tidak
digunakan dalam apa-apa bahan publisiti dalam apa bentuk, termasuk
cetak, elektronik dan mana-mana bentuk, yang boleh menghina kesucian
agama Islam.
Undang-undang itu dikuatkuasakan pada 29 April 2010.
Mereka yang didapati melanggar perintah itu akan didakwa di bawah
Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pulau Pinang) 1996.
Seksyen itu berkata mana-mana orang, sama ada dia Islam atau tidak,
yang memajukan doktrin atau kepercayaan agama selain daripada doktrin
agama Islam atau kepercayaan di kalangan umat Islam adalah melakukan
suatu kesalahan yang boleh dibicarakan di mahkamah sivil dan boleh
dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua
tahun atau kedua-duanya sekali.-UtaraNews