Kesedihan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Wanita, Keluarga,
Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk
Suraya Yaacob, terpancar di wajah beliau sejak suaminya dikejarkan ke Putra Medical Centre (PMC) dua hari lalu.
Meskipun
cuba diselindung sebaik mungkin, akhirnya tumpah jua airmatanya apabila
suami tersayang, Syed Al-Fandi Syed Mansor Barakbah, 47, melepaskan
nafas terakhir kira-kira jam 1.50 tengahari semalam di pusat rawatan
pakar tersebut.
Wajah
sugul Exco Kerajaan Negeri Kedah itu begitu jelas dilihat, khususnya
apabila ketika beliau dilihat bersama kedua anak hasil perkahwinannya
dengan arwah.
Setia
kasih pada suaminya membuatkan Suraya begitu tabah mengiringi jenazah
dari PMC ke rumah mereka di Lorong Menteri, sebelum dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Masjid Al-Bukhari di sini, kira-kira pada jam 6
petang, semalam.
Syed
Al-Fandi disahkan meninggal dunia dipercayai akibat jangkita kuman di
kepala sebelum sempat dipindahkan ke Hospital Besar Sultanah Bahiyah
untuk dirujuk mendapat rawatan pakar.
Menurut
adiknya, Syed Al-Fian Syed Mansor, arwah abangnya tidak sedarkan diri
sejak pagi semalam dan keadaannya tidak stabil untuk dipindahkan ke
Hospital Besar Alor Setar itu sebagaimana yang dicadang pada awalnya.
Beberapa
orang Exco Kerajaan Negeri Kedah turut hadir menziarahi arwah Syed
Al-Fandi di rumah ADUN Sungai Tiang itu dan sebahagian dari mereka juga
mengiringi jenazah ke Masjid Al-Bukhari untuk disolatkan sebelum
dikebumi.
Antara
yang hadir ialah Datuk Rawi Abdul Hamid, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail
dan YB Norsabrina Mohd Noor, manakala Exco yang lain sempat menziarahi
arwah ketika masih berada dalam keadaan koma di PMC pada awal tengahari
semalam.
Selain
itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Rozai Md Shafian,
pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Kedah dan pemimpin Wanita UMNO
dari banyak bahagian turut hadir menziarahi arwah.
Teman
seperjuangan Suraya di dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia seperti
bekas ADUN Paroi, Bibi Sharliza Mohd Khalid turut kelihatan menenangkan
beliau dan difahamkan bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia pertama, Datuk
Seri Azalina Othman Said sedang dalam perjalanan ke rumahnya.
Pada tahun 2010, Suraya kehilangan anak lelaki kedua daripada tiga
beradik, Syed Arif Syed Alfandi, 12, yang maut dalam kemalangan
jalan raya di Jalan Kuala Kedah setelah dirempuh kereta semasa melintas jalan kira-kira jam 8 pagi.
Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat dirakam jurugambar kami. -KedahNews.com
Bapa arwah Syed Al-Fandi, Syed Mansor mengucup dahi anaknya untuk kali yang terakhir... |
Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Rawi bantu menguruskan jenazah suami rakan Exconya |
Speaker DUN Kedah, Datuk Rozai kelihatan bersedih ketika mengiringi jenazah keluar dari rumah |
Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB Norsabrina dan bekas ADUN Paroi, Datin Seri Bibi Sharliza mengiringi jenazah dari awal hingga ke tanah perkuburan untuk disemadikan di liang lahad.. |
Datuk Suraya memimpin tangan anak bongsunya, melihat suami dan ayah pada anaknya itu disemadikan di Masjid Al-Bukhari, Alor Setar. |
Begitu tabah hati seorang isteri menghadapi perasaan anaknya yang masih mentah tentang kehilangan ayahnya yang tersayang...Al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT... Aminnn.. |