Baling - Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim
bagi Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Kajang, menerima tamparan hebat apabila
Ketua PKR Cabang Baling, Lim Chong Ann, meletak jawatan serta merta
baru-baru ini.
Mendakwa wujudnya budaya kronisme yang sangat kuat di dalam kepimpinan
utama PKR, Chong Ann enggan lagi meneruskan perjuangan bersama sebuah
parti paling kontroversi dalam dunia politik tanahair itu.
Menurutnya, pengalaman sebagai Ketua Cabang selama dua penggal tanpa
sebarang peruntukan dari PKR Pusat benar-benar membuatnya serik,
sedangkan kroni-kroni pucuk pimpinan parti dikatakan "senang lenang"
dikurniakan imbuhan lumayan dan jawatan tinggi.
Chong Ann turut terkilan dan rasa langsung tidak dihargai apabila
terpaksa menghabiskan wang sendiri untuk membiaya program serta aktiviti
parti di Baling, termasuk ketika berkempen pada PRU ke-13, Mei tahun
lalu.
Bekas Ketua Cabang PKR Baling itu turut meluahkan rasa kecewa apabila
tiada sebarang pingat kebesaran dikurniakan kepada pemimpin PKR di
peringkat bawahan berbanding kroni-kroni di peringkat Pusat yang tidak
berjasa, ketika Pakatan Rakyat mentadbir selama 5 tahun di Kedah.
Chong Ann memaklumkan pada media bahawa surat perletakan jawatannya
sebagai Ketua Cabang PKR Baling berkuatkuasa pada tarikh 3 Februari
2014, manakala tarikh surat berkenaan diserahkan ialah pada 5 Februari,
baru-baru ini.
Perletakan jawatan Chong Ann secara mengejut itu dianggap satu tindakan
yang sangat memalukan "De Facto" PKR, Anwar Ibrahim, yang sedang "ke
hulu ke hilir" di seluruh daerah Kajang berkempen bagi merebut jawatan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor itu nanti. -UtaraNews.com