Alor
Setar - Kegiatan penceramah agama dari luar di surau atau masjid yang
berunsur menghina dan memaki hamun mana-mana individu perlu dihentikan
segera bagi mengelak rumah Allah itu terpesong dari tujuan ibadah.
Exco
Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain
menegaskan bahawa umat Islam patut malu pada penganut agama lain yang
tidak menjadikan rumah-rumah ibadat mereka sebagai tempat melepaskan
geram, berpolitik atau mencetus punca pertelingkahan sesama sendiri.
"Apa yang kita perhatikan sekarang orang Melayu seolah-olah berpolitik
tanpa mengira tempat dan sempadan hingga sanggup menggunakan masjid
serta surau sebagai lokasinya.
"Sedangkan rumah ibadat itu tempat kita mengabadikan diri kepada ALLAH,
mahu mendapat ketenangan jiwa serta khusyuk dalam beribadat.
"Kita patut malu pada bangsa lain kerana kerana tempat ibadat mereka
seperti kuil Hindu dan tokong Cina tidak digunakan untuk menghentam
sesama mereka," kata Exco Kerajaan Negeri Kedah itu yang dipetik dari sumber, Sinar Harian, baru-baru ini.
Beliau
yang mengulas mengenai tindakan seorang penceramah luar yang bertindak
seolah-olah menggelar seorang menteri sebagai "setan" baru-baru ini
dikhuatiri mencemar rumah Allah, apatah lagi dijadikan medan politik
bagi kepentingan pihak tertentu.
Dalam kejadian sebelumnya, seorang penceramah bebas secara sengaja dilaporkan telah menghina pemimpin negara dengan
menggunakan kata-kata biadap, Ahad lalu, di Masjid Tunku Puan Habsah,
Padang Temusu, Sungai Petani.
Secara selamba, penceramah itu menyebut Menteri Belia dan ‘Setan’ namun selepas itu,
tanpa memohon maaf, mengakui diri kononnya tersasul dan menyebut semula "Menteri Belia
dan Sukan".
Kesal
dengan insiden tersebut, Tajul Urus yang juga merupakan Ahli Dewan
Undangan (ADUN) Tanjung Dawai menegaskan bahawa surau dan masjid adalah
tempat untuk umat Islam beribadah secara khusyuk tanpa dicemari dengan
dosa makin hamun sebegitu.
"Rumah ibadat itu tempat kita mengabadikan diri kepada Allah SWT, mahu mendapat ketenangan jiwa serta khusyuk dalam beribadat.
"Mereka akan menggunakan sepenuhnya kesempatan dengan membawa masuk
penceramah luar. Apabila selesai majlis mereka tidak perlu memikul
tanggungjawab jika timbul isu menghina atau mengutuk individu tertentu," katanya lagi.
Tajul Urus ditemui media selepas merasmikan karnival kerjaya anjuran Umno Bahagian Kuala Kedah
bersama Jabatan Tenaga Kerja Kedah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi
Gajah, di sini, semalam. -KedahNews.com