Alor Setar - Kehangatan sambutan Majlis Mahabbatur Rasul - Kedah Berselawat yang diadakan pada 8 Februari baru-baru ini seolah-olah "membakar hati" para pengamal media sosial pro-PAS sehingga memaksa mereka menabur fitnah terhadap program tersebut.
Misalnya, pengurus tadbir laman sosial Facebook yang dipercayai milik
Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat selamba menuduh program memupuk
kecintaan ummah pada Rasulullah SAW itu ditaja oleh sebuah syarikat
perjudian.
Khabar angin tersebut kemudiannya disebar melalui laman-laman sosial
sehingga menjadi persoalan yang begitu mirip pada syubhah atau fitnah.
Malah memburukkan keadaan, ada pula penyokong PAS yang taksub
mempercayai dakwaan tanpa sebarang asas atau bukti kukuh itu.
Pun begitu, seorang gadis yang mendakwa salah seorang kakitangan Yayasan Islam Kedah (YiKed), Nur Assilla Amirah, tampil membuat kenyataan di laman Facebooknya memohon agar fitnah tersebut dihentikan segera.
Kakitangan YiKed itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan majlis berkenaan
mendapat tajaan dari sumber syarikat perjudian sebagaimana yang
digembar-gemburkan.
Menurut Assilla, dia yang bertugas dan bertanggungjawab di bahagian
urusetia penajaan program itu mendakwa majlis berkenaan adalah hasil
titik peluh pihak penganjur (YiKed dan Kerajaan BN Negeri Kedah).
Mungkin pasrah dengan tuduhan melulu "pejuang-pejuang Islam" PAS itu,
Assilla memberi amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar
fitnah tersebut supaya menjawab tentang dosa mereka itu di akhirat
kelak. - UtaraNews.com