Harga Getah Jatuh: tukang demo politik vs "tokwan" berusia 80 tahun

Lebih kurang 50 orang penoreh dan pemilik kebun Getah dilapor akhbar Sinar Harian mengadakan demonstrasi jalanan di Simpang Tiga Kejai yang diketuai oleh ADUN PAS Kuala Ketil, Md Zuki Yusuf.
 
Mereka memprotes kejatuhan harga getah dan meminta "jasa baik" pihak kerajaan agar campur tangan dalam hal tersebut serta membantu mereka menangani kemelut kenaikan kos sara hidup para penoreh getah.
 
Ada di antara mereka yang mengugut akan melancarkan "mogok lapar" sebagaimana yang pernah berlaku sekitar tahun 1974 dahulu yang menyaksikan harga pasaran komoditi itu jatuh teruk dan menjejaskan kehidupan para penoreh.
 
Kata mereka, harga getah dijual pada peraih pada harga RM2.40 sekilogram.
 
Azlan Hussin, 36, dari Kuala Pegang misalnya memberitahu bahawa dia hanya memperoleh 20 kilogram getah sehari yang bernilai RM48 sebelum dibahagi dua pendapatan tersebut dengan pemilik kebun.
Itu belum bahagi dua kepada tuan tanah, dalam sehari dapatlah RM24. Itu pun belum tentu setiap hari, kadang-kadang hujan. Tambahan pula sekarang musim kemarau, hasil getah tak berapa banyak.


“Dengan wang itulah saya berjimat untuk beli barang keperluan harian termasuk keperluan sekolah anak,", katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
 
Laporan Sinar Harian hilang kreadibiliti disangkal "Tokwan" 
 
Berlainan pula yang berlaku di Sik, Kedah, apabila seorang "tokwan", Nayan Yusof, yang berusia 80 tahun tetap gigih dan rajin menoreh meskipun harga getah jatuh.
 
Malah lebih menarik, Nayan begitu komited menoreh seawal jam 7 pagi dan mampu menoreh sebanyak 300 batang pokok sehari! Tidak hairanlah jika "tokwan" itu berbangga dengan hasil pendapatannya sebanyak RM600 seminggu, hasil jualan getah sekerap.
 
"Banyak risiko apabila warga emas menoreh getah tetapi saya masih bersemangat walaupun sesetengah orang tidak sanggup berbuat demikian lagi.
 

"Pukul 7 pagi, saya sudah berada di kebun, dalam sehari saya mampu menoreh 300 batang pokok getah," katanya yang dipetik dari Utusan Online.
 
 
 
Menurut Nayan lagi, dia menoreh di kebun getah milik orang yang dipawah seluas lima hektar dan dibantu oleh isteri Aishah Hashim, 64, dan anak, Nur Asri Nayan, 42, yang bertugas sebagai pemungut getah sekerap yang ditorehnya.
 
Berbeza dengan kumpulan "politik" yang berdemonstrasi di Baling, Nayan mendakwa harga getah di Sik dijual pada harga RM2.65 hingga RM2.80 sekilogram. Mungkin penoreh getah di Sik ditipu peraih?
 
Selain itu, mungkin juga rezeki itu sememangnya ditentukan Allah SWT dan kita sebagai hambanya wajar bersyukur padaNya. Sebagaimana yang difirmankan Allah SWT di dalam Al-Quran yang mahfumnya "sekiranya kamu bersyukur maka Allah akan tambahkan rezeki kamu".
 
Disamping itu juga, dalam perkara memohon pertolongan sesuatu pihak, termasuk kerajaan sekalipun, Islam mengajar kita supaya menggunakan cara yang berhikmah dan bukannya dengan cara mengugut atau membuang masa berdemonstrasi di tengah jalanraya.
 
Sekiranya seseorang itu datang meminta pertolongan kita dengan cara mengugut dan memekik memegang sepanduk di jalanraya mendesak kita menolongnya, apa agaknya reaksi kita? Mungkin "parang panjang"lah jawabnya...
 
Mujurlah Ahli Lembaga Pengarah Risda, Datuk Azmi Che Husin, masih bermanis muka mahu membantu para penoreh di Baling dengan menyarankan mereka menjual getah sekerap masing-masing kepada Depoh Risa bagi mengelak ditipu peraih yang suka mengambil kesempatan.
 
Beliau juga menerangkan bahawa Risda juga tidak lepas tangan apabila menggariskan beberapa langkah dan strategi membantu penoreh seperti memperkenalkan bahan ransangan yang mampu menambah mutu dan memperbanyakkan lagi hasil torehan.
 
Lebih melegakan, Azmi juga berjanji akan membantu penoreh mendapatkan bantuan kewangan bagi menampung hidup ekoran kejatuhan harga getah di pasaran.
 
Menurutnya, hanya pemilik kebun getah saja yang diberi bantuan kewangan sebelum ini manakala penoreh yang pawah kebun tersebut tidak menerima bantuan berkenaan. Namun beliau berjanji akan cuba sedaya upaya untuk membantu penoreh yang bukan pemilik kebun supaya turut mendapat bantuan tersebut.
 
Kita mengharapkan agar para penoreh tidak mudah dimanipulasi minda mereka oleh segelintir pihak yang cuba mempergunakan mereka untuk kepentingan politik. Mentang-mentanglah penoreh sedang tertekan, mereka ambil kesempatan pula? Wajarkah penoreh diperbodohkan begitu? -UtaraNews.com