"Ini special... Kedah saja" - Mukhriz Mahathir



Kota Kuala Muda - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan bahawa selain Kerajaan Negeri Kedah pimpinannya, Kerajaan Pusat juga sedia memberikan komitmen tinggi untuk mempertimbangkan sebarang peruntukan  pembangunan serta keperluan rakyat di negeri Kedah.

Berucap di hadapan lebih 2,000 masyarakat daerah Kota Kuala Muda, Mukhriz menjelaskan ia adalah satu keistimewaan yang diberikan kepada negeri Jelapang Padi itu bagi merealisasikan pendekatan mendahulukan rakyat dan menjayakan pelan transformasi di seluruh negeri tersebut.

"Peruntukan juga disediakan oleh Kerajaan Persekutuan, begitu bermurah hati untuk membantu rakyat negeri Kedah.

“Saya mendapat komitmen daripada pemimpin peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan bahawa apa sekalipun yang diperlukan oleh Kedah Darulaman mereka akan memberi pertimbangan yang paling positif. Itu komitmen dan kesungguhan mereka,

"Tapi toksah habaq kat orang lainlah, nanti cemburu pula negeri-negeri lain. Ini special, Kedah saja", katanya berseloroh menjelaskan berita baik untuk rakyat Kedah ketika berucap di Dataran Pantai Merdeka, semalam.


Selama dua hari berturut-turut “turun padang” menerusi program MB Mesra Rakyat 2014 (Siri I) Daerah Kota Kuala Muda, Mukhriz mendengar sendiri suara rakyat selain menyelami jiwa dan kehidupan masyarakat nelayan di kawasan tersebut.

Setelah lebih 16 jam mendekati rakyat di sepanjang programtersebut, baharulah pihaknya melakukan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan, pegawai daerah, termasuk ketua jabatan di peringkat negeri turut sama berbincang mencari jalan bagi menyelesaikan masalah yang disuarakan.

"Tujuannya tak lain tak bukan, untuk kita mendengar apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh rakyat di daerah ini dan bukan setakat dengar sahaja, 

“(Kami) cadangkan apa penyelesaiannya dan selepas ini kita akan susuli dengan mesyuarat-mesyuarat lain untuk mengenal pasti tempoh waktu yang patut kita ambil untuk pastikan ianya (masalah) diselesaikan,

"Saya sendiri pun di peringkat kerajaan negeri memang mempunyai peruntukan yang disediakan oleh negeri (untuk menyelesaikan masalah rakyat),” katanya lagi.

Menjelaskan di dalam sidang media sejurus selepas program itu, Mukhriz memberitahu tentang potensi sektor pelancongan yang wajar diberi perhatian serius di daerah Kota Kuala Muda, khususnya Pantai Merdeka, Lembah Bujang dan pulau-pulau kecil di sekitarnya.


Menteri Besar itu juga menyampaikan geran tanah yang sekian lama dipohon rakyat di sekitar daerah tersebut selain bantuan pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sijil pelajar cemerlang UPSR dan PMR sejurus selepas ucapan beliau.

Turut hadir di majlis pelancaran program siri pertama jelajah daerah itu ialah barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang terdiri dari Datuk Tajuddin Abdullah, Datuk Tajul Urus Mat Zain, Datuk Rawi Abdul Hamid, Datuk Suraya Yaakob dan YB Norsabrina Mohd Noor.

Selain itu Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Merdeka, YB Ali Yahaya, Ketua UMNO Bahagian Sg Petani, Datuk Abdul Rahim Saad, Timbalannya, Shahanim Mohd Yusof serta ahli-ahli jawatan kuasa juga hadir selaku “tuan rumah” program tersebut. – KedahNews.com