ALOR SETAR - Rakyat Kedah dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh
dengan sebarang bentuk provokasi perkauman yang mampu menjejas
keharmonian kaum yang terbina di negara kita sejak zaman berzaman.
Isteri Menteri Besar Kedah, Datin Seri Norzieta Zakaria berkata, terlalu
banyak sebaran berbentuk hasutan di media maya sehingga mampu menjejas
perpaduan yang terjalin di antara masyarakat majmuk di negara kita.
"Di dunia maya,
terlalu banyak hal-hal perkauman disebarkan. Tetapi kita tidak
seharusnya terlampau cepat terpengaruh dengan segala bentuk hasutan
untuk memecah belah hubungan antara kaum di negara ini," katanya yang dipetik dari Utusan Online.
Justeru itu beliau meminta agar golongan muda banyak belajar dari
pengalaman bernilai yang dimiliki golongan warga emas yang berjaya
memupuk dan menyuburkan keharmonian kaum di negara berbilang bangsa
seperti Malaysia.
"Dari segi teori, mungkin orang muda boleh mempelajari apa jua ilmu di
pusat-pusat pengajian tertentu tetapi perlu diingat, golongan warga
emas merupakan mereka yang terlebih dahulu menabur bakti kepada negara
sehingga membawa kita menikmati kesejahteraan sosial dan pembangunan semalam.
"Sebahagian mereka mempunyai pengetahuan luas dalam pentadbiran
negara. Justeru, generasi muda usah bongkak dan sombong apabila berdepan
mereka kerana khazanah ilmu mereka adakalanya tidak ternilai," katanya lagi.
Menyampaikan sumbangan kepada warga emas di sini semalam, Norzieta turut
menyarankan rakyat agar mengambil iktibar dari kemusnahan dan kerosakan
yang berlaku di negara luar, serta mnejadikan peristiwa yang mampu
menjahanamkan negara itu sebagai teladan.
Isteri kepada Menteri Besar itu turut menyampaikan sumbangan angpow dan
barangan keperluan harian kepada lebih 50 warga emas dari DUN Derga dan
Gurun, mewakili Rumah Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat, Isteri
Bekas Wakil Rakyat dan Wakil Rakyat Barisan Nasional Kedah (Bidara). - KedahNews.com