Janji "dicapati": Kerajaan UMNO/BN Kedah janji lunaskan "hutang" PAS Kedah

Kerajaan UMNO/BN Negeri Kedah menegaskan bahawa pihaknya akan membayar wang hadiah sebanyak RM5,000 yang dituntut Masjid Ar-Rahman Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, meskipun hadiah tersebut dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, pihaknya sedang membuat semakan berhubung tuntutan itu dan berjanji akan cuba melunaskan "hutang" Kerajaan PAS Kedah kepada masjid berkenaan.

"Harap mereka bersabar kerana semakan sedang dibuat. Hadiah wang tunai itu akan dibayar kerana kita akan cuba tunaikan janji, walaupun bukan kita yang berjanji," katanya yang dipetik dari Sinar Harian, semalam.

Menurutnya lagi, jawatankuasa masjid itu telah diserahkan pada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK) bagi tujuan penelitian dan tidak menolak bahawa pihak kerajaan sebelum ini "terlupa" mengenai hadiah yang dimenangi Masjid Ar-Rahman.

"Surat yang dihantar oleh jawatankuasa masjid itu September lalu kini dalam penelitian pejabat SUK. Kita akan cuba selesaikan dan saya lihat ada harapan yang positif,

"Difahamkan, sebelum ini peruntukan itu tidak diagihkan atas alasan yang tidak diketahui, mungkin terlepas pandang," katanya lagi.

Pengerusi yang juga Imam Kariah Masjid Ar-Rahman, Athman Murad sebelum ini mendedahkan pihaknya terpaksa menunggu selama empat tahun menanti wang hadiah RM5,000 yang dijanjikan Kerajaan Negeri Kedah setelah dinobatkan sebagai Masjid Terbaik Negeri Kedah (kategori luar bandar) sempena sambutan Maal Hijrah tahun 2009.

Menurut Imam berkenaan, pihaknya telah menerima replika cek tertulis RM5,000 dan sekeping sijil sebagai hadiah dari DYMM Sultan Kedah,  Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di Wisma Darul Aman kira-kira 4 tahun lalu di satu majlis.

Bagaimanapun, beliau mendakwa pihak masjid itu tidak menerima hadiah RM5,000 itu sehingga kini. - KedahNews.com