Kerajaan UMNO/BN Kedah tegas utamakan syiar Islam

Kerajaan UMNO/BN Negeri Kedah menegaskan bahawa mengimarahkan syiar agama Islam adalah merupakan satu dasar utama selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dari kerajaan sebelum ini yang dipimpin oleh PAS.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, tindakan itu dibuat seawal bulan Ogos tahun lalu selepas kira-kira tiga bulan beliau memegang jawatan Menteri Besar melalui pindaan rang undang-undang Syariah "anti-Syiah" yang dibantah sebilangan pemimpin PAS.

"Saya ingin menyakinkan tuan-tuan dan puan-puan bahawa Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin oleh saya sendiri dan rakan-rakan yang lain memberi keutamaan kepada usaha untuk menegakkan syiar Islam.

"Kita bermula dengan memastikan bahawa kita luluskan undang-undang jenayah Syariah untuk menghalang daripada penularan fahaman Syiah, itu bulan 8 (Ogos) tahun lepas lagi kita dah buat dah", katanya ketika berucap di hadapan lebih 2,000 orang penduduk kawasan Pantai Merdeka.

Lebih membanggakan beliau, negeri-negeri lain di Malaysia difahamkan turut mengikut jejak langkah Kerajaan UMNO/BN Negeri Kedah itu bagi membendung fahaman Syiah di negeri masing-masing.


Katanya, tindakan itu juga membuktikan bahawa pihaknya menjalankan tanggungjawab dengan baik dengan menunaikan amanah rakyat yang dikembalikan kepada Barisan Nasional (BN) dan beliau tidak sesekali akan mengkhianati kuasa yang diberikan rakyat.

Selain itu, ia juga menafikan andaian dan persepsi yang cuba dilemparkan pihak tertentu yang kononnya Kerajaan UMNO/BN Negeri Kedah tidak mengutamakan Islam dan sering menyalahguna kuasa yang diberikan.

Menyingkap majlis Mahabbatur Rasul - Kedah Berselawat pada 8 Februari lalu yang dianggarkan dihadiri kira-kira 52,000 umat Islam di Stadium Darulaman, beliau menganggap program ibadah itu turut membuktikan betapa serius kerajaan pimpinan Mukhriz mengimarahkan Islam di Kedah.

Katanya, suasana yang tercipta di stadium negeri itu seolah-olah himpunan umat Islam yang sedang mengerjakan ibadah umrah sehingga ada di kalangan peserta yang terasa seperti mahu melontar "jamrah" sebagaimana ketika melaksanakan umrah di kota suci Mekah.

"Kita pun..mana yang pernah pergi ke Mekah dan Madinah terasa macam ada di sana.. macam buat umrah ke.. naik haji ke..sampai ada seorang orang lama bagitau saya, dia terasa macam habis saja program nak keluar dari stadium nak pergi lontar katanya," cerita Mukhriz lagi.


Menteri Besar itu bagaimanapun menegaskan bahawa perkara yang paling penting dalam penganjuran program seumpama itu ialah cara pihak Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan program Mahabbatur Rasul itu.

Menurutnya, pihak Kerajaan Negeri langsung tidak mempolitikkan penganjuran program itu.

Malah beliau menegaskan bahawa sebelum penganjuran program itu Menteri Besar itu ada menjemput seluruh umat Islam di Kedah untuk beramai-ramai menyertai program tersebut dan mengenepikan soal perbezaan politik masing-masing.

"Kita mahu semua orang mai (hadir), saya sendiri pun ada keluarkan kenyataan media 4-5 hari sebelum majlis, jemput siapa-siapa pun lah.. tak kira fahaman politik atau ideologi,.. ketepikan soal politik tu.. kita mai bak berselawat pada Rasulullah SAW," katanya lagi.

Mengimamkan solat Isyak di Kg Desa Keda Tepi Sungai Muda sebelum ke pentas ceramah ilmu di Pantai Merdeka
Berucap merasmikan majlis Pentas Ceramah Wacana Ilmu Sumber Maklumat & Forum di perkarangan Pantai Merdeka sempena program MB Mesra Rakyat 2014 Daerah Kota Kuala Muda, di sini semalam.

Majlis turut dihadiri oleh barisan Exco Kerajaan Negeri, para pegawai kanan kerajaan serta lebih 2,000 penduduk tempatan yang membanjiri kawasan pelancongan ikonik tersebut. - KedahNews.com