Ketua Menteri Sarawak sah letak jawatan!

PETRA JAYA – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud disahkan meletak jawatan beliau dan dijangka bakal mengumumkan penggantinya dalam tempoh terdekat ini.

Memetik laporan dari Berita Harian Online, Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, Abdul Taib mengumumkan pengundurannya.

Taib juga dilapor menyerahkan pada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti serta kaukus khas menentukan siapa pengganti beliau yang sesuai.

Bagaimanapun dalam mesyuarat hampir lima jam itu, MKT dan kaukus memutuskan memulangkan kuasa menamakan pengganti kepada Abdul Taib yang merupakan pemimpin politik paling lama dalam sejarah negara memegang tampuk pentadbiran kerajaan.

Abdul Taib yang lahir pada 21 Mei 1936, anak kelahiran Miri, Sarawak, mula dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak sejak tahun 1981. -KedahNews.com