"Port Mat Pet" Jambatan Tok Pasai diserbu polis, 42 ditahan

Kuala Kedah - Seorang datuk berusia 62 tahun yang hanya dikenali sebagai "Pak Long", ditahan pihak polis dalam serbuan besar-besaran di "port" dadah terkenal yang terletak di bawah jambatan Tok Pasai, di sini baru-baru ini.

Pak Long yang mengaku pernah berkerja sebagai "penasihat undang-undang" di Johor, terjebak dengan najis dadah selama 42 tahun lalu  mengunjungi  lokasi bawah jambatan tersebut bagi mendapatkan bekalan dadah setiap hari.

"Pak Long sudah mengambil dadah selama 42 tahun ketika berusia seawal 20 tahun lagi. Semua bekalan diperoleh daripada tokan di kawasan terbabit.

"Kira-kira jam 8 pagi, Pak Long datang ke kawasan ini untuk mendapatkan bekalan diperlukan," katanya yang dipetik dari Sinar Harian, semalam.

Seramai 42 orang penagih dadah tegar berusia di lingkungan 27 hingga 62 tahun telah berjaya ditangkap pihak berkuasa di dalam serbuan narkotik yang bermula kira-kira jam 6 pagi hingga 11 tengahari itu.

Serbuan yang diketuai oleh Inspektor Muhamad Amin Mat Yassin, bersama seorang pegawai dan 14 anggota Ibu Pejabat Polis (IPK) Kedah dan Balai Polis Kuala Kedah menyerbu "port" yang dipercayai aktif sejak 2 tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisoner Adzaman Mohd Jan, para penagih selalunya akan menghubungi "tokan" melalui nombor yang tertulis di bawah jambatan tersebut terlebih dahulu untuk memesan sebelum mendapatkan "barang".

Pun begitu, Adzaman memberitahu bahawa "tokan" di "port" itu pernah cuba dihubungi para pegawainya, namun panggilan telefon tersebut tidak dijawab.

Kesemua penagih yang ditahan didapati positif dadah jenis heroin dan mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1988 kerana disyaki penagih dadah. -KedahNews.com