Salah fitnah: PAS Kedah tiba-tiba kalut?

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT apabila lebih 40,000 umat Islam dari seluruh Kedah berhimpun pada malam 8 Februari lalu di Stadium Darulaman. Himpunan itu bukan himpunan "mahu ke Putrajaya", tapi berselawat beramai-ramai menyemai rasa cinta pada Rasulullah SAW.
Majlis Mahabbatur Rasul - Kedah Berselawat yang dianjurkan Yayasan Islam Negeri Kedah (YiKed) dan Kerajaan BN Negeri Kedah benar-benar membuat rakyat terasa aman dan makmur di bawah rahmat Allah pada malam tersebut.
Namun yang peliknya, ADUN PAS Alor Mengkudu, Ahmad Yahaya, yang bergelar "Ustaz", tiba-tiba panas hati dan mengutuk penganjur yang bersusah payah menjayakan program yang julung-julung kali diadakan itu. 
Kata "Ustaz" Ahmad Yahaya, majlis tersebut hanyalah "lakonan" untuk menarik sokongan politik kepada UMNO dan ia tidak ikhlas dilaksanakan. Terpampang tuduhan tidak berasas itu di dada media menuduh majlis ilmu dan ibadah itu kononnya "bermotif politik"...
Tidak cukup dengan itu, para aktivis PAS di laman sosial pula sebok menyebarkan dakwaan kononnya majlis berkenaan "ditaja" oleh syarikat perjudian. Kononnya mereka mahu menuduh Kerajaan BN Negeri Kedah gunakan wang judi untuk tujuan majlis agama...
Kenapa yang pemimpin PAS Kedah dan para penyokongnya "panas hati" sangat dengan majlis Mahabbatur Rasul itu? Setahu saya, hanya syaitan laknatullah saja yang akan panas satu badan kalau umat Islam berselawat untuk Rasulullah SAW. 
Apakah apa pemimpin PAS dan penyokongnya pun "panas" sama-sama dengan syaitan?
Maklumlah, di zaman PAS, mereka begitu berbangga dengan "himpunan hijau ke Putrajaya" yang kononnya dihadiri lebih "500,000" orang di stadium yang hanya berkapasiti 35,000 orang itu. Riuh rendah mereka "kompang" himpunan politik yang merosakkan padang stadium itu...
Namun Kerajaan BN Negeri Kedah yang tidak sampai setahun mentadbir sudah mampu menganjurkan program agama yang menyatukan ramai umat Islam meskipun berlainan fahaman politik. Itulah bezanya antara UMNO dan PAS. Kematangan itu bagaikan "langit dengan bumi" bezanya...
Menyedari ketidakmatangan ADUN PAS Alor Mengkudu itu, Ketua Pembangkang DUN Kedah yang juga ADUN PAS Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah terpaksa memanggil media untuk menafikan fitnah Ahmad Yahaya itu sebagai kenyataan rasmi dari PAS Kedah. 
Kononnya Ahmad Yahaya itu hanyalah bersifat peribadi dan tidak ada kena mengena dengan PAS Kedah. Apa yang jelas, Amiruddin cuba memperbaiki imej PAS yang dirosakkan oleh keceluparan mulut Ahmad Yahaya. Ahmad Yahaya buat tuduhan fitnah, Amiruddin pula yang berpeluh-peluh?
Penulis tidak yakin alasan yang diberikan Amiruddin itu mampu memadam dosa fitnah Ahmad Yahaya itu.
Tuduhan dan syak wasangka buruk itu dilakukan Ahmad Yahaya dengan rela tanpa dipaksa sesiapa. Maka tuan empunya badanlah yang sepatutnya mengaku salah, meminta maaf secara terbuka, menarik balik kenyataannya dan bertaubat kepada Allah SWT, bukan Amiruddin.
Kenapa PAS Kedah "kalut" sangat? 
Ahmad Yahya menabur tuduhan jahat, memfitnah dan berburuk sangka pada penganjuran majlis yang menyemai kecintaan pada Rasulullah SAW.
Penyokong PAS Kedah pula sebok menabur fitnah di laman sosial Facebook mengatakan program Mahabbatur Rasul - Kedah Berselawat itu ditaja oleh syarikat judi.
Ketua Pembangkang, Amiruddin pula cuba "menegakkan benang yang basah", berpeluh-peluh memberi kenyataan media untuk "menghalalkan" kenyataan jahat Ahmad Yahaya dan para penyokong PAS.
Paling menarik, kepimpinan UMNO/BN Kedah yang sedang mentadbir negeri Jelapang Padi ini hanya tersengih-sengih melihat telatah PAS Kedah yang "kepanasan" bila berpuluh ribu umat Islam berselawat beramai-ramai.
Itulah bezanya kepimpinan PAS dan UMNO di Kedah. Padanlah Allah SWT yang mentakdirkan PAS menjajah Kedah selama 5 tahun saja dan mengembalikan negeri itu kepada UMNO/BN sebelum dijahanamkan oleh "lebai-lebai kulup"! -UtaraNews.com