Laungan azan selamatkan Mariam, kedai dan rumah

POKOK SENA - “ALLAHU-AKHBAR, ALLAHUAKHBAR, ALLAHUAKHBAR,” laungan azan Mariam Hashim, 50, apabila melihat angin puting beliung yang berpusing melalui hadapan kedainya sebelum merempuh kedai jirannya itu.

Menurut Mariam, dalam kejadian jam 1.30 petang itu, dia melihat angin kecil berpusing-pusing di hadapan kedainya di Dataran Bunga Sena, bagaimanapun tidak lama kemudian angin itu semakin besar dan berpusing hingga kuat serta menuju ke arah kedainya.

Mariam berkata, dia terkejut apabila angin puting beliung itu mula menuju ke kedainya menyebabkan dia berhenti memasak lalu keluar dan melaungkan azan dengan kuat.

"Selepas laungan azan ini, secara tiba-tiba angin itu beralih dan terus menuju ke kedai jiran hingga kanopi terangkat serta tiang konkrit turut tercabut.

“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan saya tidak mampu melakukan apa-apa bagi menyelamatkan barang-barang di kedai bersebelahan. Angin itu datang dengan kuat lalu mengangkat kanopi dari dua kedai berdekatan dan tersadai di tiang elektrik,” katanya.

Bagi Ramli Abd Rahman, 47, kejadian angin puting beliung petang semalam sangat memeranjatkannya kerana berlaku di hadapannya.

Katanya, pada mulanya angin puting beliung itu berpusing-pusing di hadapan rumahnya dan tidak lama kemudian angin itu secara tiba-tiba menjadi besar lalu menuju ke arah rumahnya menyebabkan dia segera melaungkan azan. 

“Angin puting beliung itu tiba-tiba berhenti setelah saya melaungkan azan dan kemudiannya dalam beberapa saat terus menuju ke dua kedai makan di hadapan rumah,” katanya.

Menurut Ramli, kejadian angin puting beliung itu merupakan kali kedua selepas berlakunya pada tahun lalu. - Sinar Harian