TRAGEDI MH370 yang tercetus, nyata menggemparkan dunia ketika ini.
Tidak kira pangkat, darjat, bangsa mahupun usia, semua insan
tersentuh serta tertanya-tanya mengenai misteri kehilangan pesawat
Boeing 777-200ER milik Penerbangan Malaysia (MAS) itu yang dilaporkan
mengakhiri penerbangan di Lautan Hindi.
Kelompok artis tempatan turut terkejut dengan insiden ini apatah lagi
mereka yang pernah bertugas sebagai anak kapal dengan MAS suatu ketika
dulu.
Lantaran hari ini, RAP mengumpulkan beberapa nama yang pernah menjadi
pramugara dan pramugari MAS seperti Raja Azmi Raja Sulaiman, Ziana
Zain, Amy Mastura, Ellie Suriaty Omar, Anuar Zain, Faezah Elai dan Nazim
Othman. Antara yang lain termasuklah Datin Normala Shamsuddin, Fouziah
Gous dan artis yang masih bertugas iaitu Zarul Umbrella.
“Sepanjang menjadi pramugara, saya tidak pernah pula melalui
peristiwa yang menakutkan. Apapun kes yang menimpa pesawat MH370 ini
sangat luar biasa. Jadi, saya mengharapkan masyarakat dapat menerimanya
secara positif dan tenang apa yang sudah berlaku.
"Janganlah membuat
sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan keadaan tegang dan menyinggung
perasaan ahli keluarga mangsa.
“Saya sangat terkesan dengan apa yang berlaku. Walaupun hakikatnya
sangat pahit untuk ditelan, apa boleh kita buat kerana ia takdir Tuhan.
“Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu pasrah dan berdoa. Apapun,
saya tetap berbangga dengan cara pengurusan MAS dalam tragedi ini dan
semua pihak SAR sedang berusaha bersungguh-sungguh mencari di mana kotak
hitam.”
Amy Mastura – Bertugas: 1989 – 1994
“Saya sempat lima tahun bersama MAS namun apabila berjaya
pertandingan Asia Bagus! pada 1993, saya akhirnya berhenti daripada MAS,
setahun kemudian.
“Syukurlah sepanjang lima tahun saya dengan MAS, tidak pernah pun
saya berdepan situasi genting. Pun begitu seperti semua anak-anak kapal
lain, kami dilatih untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Biasanya sebelum suatu penerbangan berlepas, kesemua anak-kapal
terbabit lebih dulu diberi taklimat penting sebagai persiapan kerana
kita mahu semuanya berjalan lancar.
“Ketika ini saya hanya mampu mendoakan yang terbaik buat penumpang
MH370. Saya yakin semua anak kapal kita dalam MH370 sudah melakukan yang
terbaik dalam tugasan mereka dan usahlah kita berprasangka buruk
terhadap mereka dan mendengar spekulasi negatif.”
Raja Azmi – Bertugas: 1979 – 1983
“Sebelum menjadi produser filem, saya pernah bertugas dengan MAS
ketika berumur 19 tahun dengan pesawat jenis Fokker F27. Ia satu
pengalaman yang menyeronokkan kerana saya suka melayan penumpang dan
mendapat ramai kawan. Malah setiap kali menyarung pakaian seragam MAS,
saya sangat bangga apatah lagi ketika itu hanya ada satu syarikat
penerbangan komersial di Malaysia.
“Daripada F27, saya beralih ke pesawat Boeing 737, DC10, Airbus A300 dan akhir sekali, Boeing 747.
“Paling jauh saya ‘terbang’ ialah ke Rom, Itali pada 1983. Rombongan Sultan Pahang turut menaiki kapal terbang berkenaan.
“Antara saat cemas buat saya apabila kami mengalami gangguan cuaca
dalam perjalanan ke Manila pada 1982. Pesawat Boeing 737 kami tiba-tiba
menempuh ‘air pocket’ dan ditarik hampir 20 kaki ke bawah!.
“Habis air kopi yang mahu saya hidangkan tercurah ke badan saya
apabila kapten tidak sempat memberikan isyarat amaran. Walaupun panik
seketika, semua penumpang selamat dan faham dengan situasi ‘air
pocket’.”
Ellie Suriaty – Bertugas: 1991 – 1998
“Terus terang niat asal saya menjadi pramugari adalah untuk mencari
seorang kawan baik ketika kami bersekolah dulu. Saya akhirnya bertemu
juga dengan rakan saya itu.
“Saya puas kerana berpeluang menjelajah banyak negara seperti England, Kanada, Belanda, Australia, China dan Jepun.
“Biasanya apabila berjauhan dengan keluarga, kawan-kawan menjadi
penghibur dan mereka seperti ahli keluarga kita. Kami anak-anak kapal
memang akrab.
“Melalui gangguan cuaca adalah perkara biasa. Namun kami semua sudah
diajar untuk tenang dan sentiasa sedia. Paling penting usah tunjukkan
rasa gugup di depan penumpang dan perlu jadi kuat. Kami kerap menjalani
kursus dan mendengar taklimat penerbangan.”
Ziana Zain – Bertugas: 1990 – 1992
“Saya hanya sempat terbang dengan MAS selama dua tahun tetapi saya
tetap seronok dan gembira menjadi ‘cabin crew’. Paling gembira apabila
kita dapat melihat negara orang dan pergi ke tempat yang mungkin sukar
untuk saya lawati ketika itu kerana keluarga saya bukannya orang yang
senang.
“Penerbangan terakhir saya adalah ke Dubai sekitar Julai 1992.
Selepas itu saya terpaksa berhenti demi memberi tumpuan sepenuhnya
kepada kerjaya nyanyian.
“Saya bangga kerana dalam keluarga, adik saya, Anuar juga bekas
pramugara dan suami saya (Armin Zaharin) masih lagi berkhidmat sebagai
ketua pramugara MAS. Aura MAS nampaknya masih dekat dengan saya kerana
sudah 24 tahun Armin bertugas dengan MAS.”
Anuar Zain – Bertugas: 1990 – 2000
“Saya bangga dapat berkhidmat dengan MAS selama lebih 10 tahun kerana
bersama mereka banyak memberikan pengalaman indah dan berharga dalam
kehidupan saya.
“Saya bersyukur dapat bekerjasama dengan ramai individu yang begitu komited pada kerja dan disiplin mereka sangat hebat.
“Apatah lagi, ketika berkhidmat dulu pun saya ada pengalaman pernah
bekerja dengan beberapa anak kapal yang terbabit dalam tragedi pesawat
MH370 seperti ketua pramugara, Andrew Nari dan penyelia, Patrick Francis
Gomes.
“Mereka ternyata orang-orang yang bagus dan amat baik belaka. Seperti
Andrew, dia adalah orang yang bertanggungjawab membentuk saya dalam
menjadi seorang pramugara yang baik ketika itu dan seorang yang cukup
merendah diri dan mesra.
“Begitu juga dengan Patrick, saya paling mengingatinya sebagai
seorang yang cukup berdedikasi dan amat mementingkan keselamatan
penumpang ketika berada di udara.
“Hanya doa yang mampu saya berikan kepada mereka.”
Danny X-Factor – Bertugas: 2003 – 2006
“Banyak pengalaman manis dirasai sepanjang saya bertugas dengan MAS.
Pendapatan saya termasuk elaun sebulan boleh mencecah sehingga RM8,000
dan saya juga sempat membuat umrah di Makkah.
Antara pesawat yang pernah
saya naiki ialah Boeing 737, Airbus 200, Airbus 300, Boeing 777 dan
Boeing 747.
“Bercakap mengenai pengalaman getir, ia lebih kepada penerbangan
dalam hujan lebat kerana kita harus bijak mengawal suasana supaya
penumpang tidak gelisah.
“Biasanya apabila cuaca buruk, pesawat tidak akan terus membuat
pendaratan, sebaliknya akan berlegar-legar dulu buat seketika di udara.
“Ketika ini ada penumpang akan tertanya-tanya dan kami akan
memberitahu dengan baik agar mereka tenang dan memakai tali pinggang
keledar.
“Sebagai anak kapal, kami sentiasa berusaha memberikan yang terbaik
buat penumpang. Ragam penumpang itu perkara biasa buat kami.”
Faezah Elai – Bertugas: 2003 – 2005
“Saya sempat berkhidmat selama tiga tahun dengan MAS. Namun saya
bertuah kerana sudah ‘terbang’ jauh hingga ke New York. Antara pesawat
yang saya naiki adalah Boeing 737, 777 dan 747.
“Banyak cabaran harus dilalui sebagai pramugari dan kita perlu melayan semua penumpang dengan sebaik mungkin.
“Tiada istilah yang buruk atau teruk kerana bagi saya semua cabaran
itu harus digalas dengan penuh rasa tanggungjawab. Malah saya seronok
bermesra dengan penumpang yang ramah dan mendapat kawan baru. Lebih
teruja kalau saya dapat bertugas bersama anak-anak kapal yang rapat
andai kami ‘terbang’ ke satu-satu destinasi yang jauh.
“Kalau ada ‘night stop’, kami boleh berjalan-jalan dan membeli-belah bersama.” – Harian Metro