MH370: Kedah hormati harapan keluarga penumpang & kru

JITRA - Kerajaan negeri Kedah tidak akan mengibarkan bendera negeri ini separuh tiang, ekoran kehilangan pesawat Malaysian Airlines MH370 yang dilaporkan berakhir di lautan Hindi, bagi menghormati harapan keluarga penumpang serta anak kapal yang terlibat.
 
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara pada mesyuarat exco petang tadi bagi menghormati anggota keluarga yang masih menaruh harapan agar semua penumpang dan anak kapal penerbangan itu pulang dengan selamat.
 
"Kami membuat keputusan, buat masa ini untuk tunggu dulu walaupun dari segi kebarangkalian, pesawat telah hilang bersama semua penumpang dan anak kapal.
 
"Itu cara kami untuk hormati harapan keluarga walaupun saya ingat seperti mana yang telah diumumkan Perdana Menteri dari segi kebarangkalian mungkin 90 hingga 99 peratus sudah seperti yang kita agakkan, biarlah kita tunggu dulu," katanya dekat sini hari ini.
 
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Pembangunan Taman Tunku Intan Safinaz dan Pembinaan Apartmen Kos Rendah di tapak projek di Bandar Darul Aman dekat sini.

Mukhriz berkata, pihaknya akan tetap menghormati harapan keluarga walaupun hanya tinggal satu peratus kemungkinan anak kapal dan penumpang terselamat.
 
Beliau berkata, kerajaan negeri juga sebelum ini telah memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai kepada keluarga penumpang MH370 yang berasal dari negeri ini dan akan turut mempertimbangkan bantuan lain selepas ini.
 
"Kita juga akan mengurangkan program hiburan untuk turut sama bersedih ekoran tragedi ini," katanya.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata bagi pembangunan Taman Tunku Intan Safinaz, Darulaman Realty (syarikat berkaitan kerajaan Negeri Kedah) akan membangunkan 420 unit apartmen kos rendah yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan dan reka bentuk moden.
 
"Matlamat rumah ini adalah untuk memastikan keselesaan penduduk dengan berkonsepkan mesra keluarga dan harmoni. Ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk merasai kehidupan yang lebih selesa," katanya.
 
"Saya difahamkan bahawa pembangunan Taman Tunku Intan Safinaz merangkumi pembinaan 1,538 unit kediaman. Ini secara langsung menzahirkan iltizam kerajaan negeri untuk memastikan seluruh rakyat negeri ini dapat memiliki rumah sendiri," katanya.  - Bernama