Mukhriz tegas mahu roboh sarang pelacuran

Jitra - Kerajaan Negeri Kedah tegas dalam pendirian bagi memerangi pemilik-pemilik premis "terlampau" yang melanggar syarat kelulusan permit operasi, termasuk yang membenarkan premis mereka dijadikan sarang pelacuran dan maksiat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya akan memastikan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan-kesalahan seperti itu ekoran hukuman yang dikenakan sebelum ini tidak memberi sebarang kesan pada mereka.

"Bukan sahaja premis tetapi dalang di sebalik semua itu perlu diambil tindakan. Segelintir wanita menjadi mangsa mungkin disebabkan keadaan dan tekanan hidup.

"Pendekatan lain boleh diambil untuk membantu mangsa yang terlibat," tegas Mukhriz sebagaimana yang dipetik dari sumber, Sinar Online, semalam.

Menurutnya lagi, hukuman sebelum ini hanya sekadar memaksa pemilik-pemilik premis yang tidak bertanggungjawab itu membayar saman dan denda yang agak ringan sehingga membuat mereka tidak serik dengan hukuman tersebut.

Menteri Besar itu berkata, beliau dan rakyat Kedah wajar mengambil contoh tindakan yang dilakukan pendakwah terkenal nusantara,  Habib Syech Abdul Qadir Assegaf, yang berjaya merubah pusat pelacuran terbesar di Solo, Indonesia, hingga menjadi sebuah pusat menuntut ilmu agama.

"Kita patut mencontohi usaha yang dilakukan pendakwah terkenal Habib Syech Abdul Qadir Assegaff yang membeli tapak pelacuran terbesar di Solo, Indonesia dan mengubahnya dengan membina pondok pesantren. 

"Hasilnya masyarakat yang sebelum ini terlibat dengan gejala maksiat boleh berubah menjadi baik,” katanya lagi.

Mukhriz ditemui media ketika merasmikan Majlis Penutup Kem Kepimpinan Belia Negeri Kedah yang berlangsung di Kem Paya Pahlawan, di sini, semalam. -KedahNews.com