“Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan.
Ni sakit saya mungkin Allah nak kifaarat dosa saya atas apa kesalahan
saya buat selama saya pimpin Kelantan,” kata bekas menteri besar
Kelantan yang paling lama memimpin negeri itu pagi tadi.
Lazimnya, Nik Aziz akan membelakangkan makmum ketika memberikan
tazkirah Subuh di masjid, tetapi pagi ini beliau mengadap Jemaah yang
memenuhi Masjid Pulau Melaka.
Nik Aziz tidak menyambung tugasnya sebagai menteri besar Kelantan
selepas menduduki kerusi itu selama lima penggal mulai 1990 hingga 2013.
Beliau adalah MB Kelantan paling lama memerintah iaitu selama 23 tahun.
Beliau digantikan oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakub. Namun sejak
Nik Aziz tidak memimpin Kelantan, kepimpinan negeri itu agak kecoh
apabila berlaku kritikan dalaman terhadap kepimpinannya dari dalam PAS
dan Pakatan Rakyat sendiri.
Sejak tidak menjadi MB, kesihatan Nik Aziz semakin teruk dengan kerap
berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia, yang terletak
tidak jauh dari rumahnya.
Beliau mengalami masalah prostat sehingga terpaksa membawa beg plastik untuk menampung urinnya.
Bagaimanapun, semangatnya tidak pernah luntur dan sentiasa memberikan sokongan moral kepada partinya dan Pakatan Rakyat.
Jika sihat, Nik Aziz akan ke pejabatnya di Kota Darul Naim iaitu
Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) yang ditubuhkan oleh pentadbiran
Kelantan yang baru.
Institut itu ditubuhkan bertujuan memastikan pemikiran Nik Aziz terus
dapat dimanfaatkan walaupun beliau bukan menteri besar lagi.
Malam tadi Nik Aziz tidak menyertai majlis himpunan Reformasi 2.0 di
Kota Baru yang turut disertai Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak
sihat. – The Malaysian Insider