ALOR SETAR - Pasangan yang terlibat dengan sindiket nikah poligami
ekspres perlu disiasat untuk mengetahui status perkahwinan mereka.
Wakil anak kariah dan badan bertindak cegah kemungkaran Masjid Tunku Abdul Rahman, Kuala Kedah, Mohamad Shariff Nawab, 66, meminta Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) memanggil dan menyoal siasat pasangan terlibat bagi mendapat maklumat terperinci.
Beliau berkata, sehingga kini, lebih 60 kes membabitkan sindiket nikah poligami dikesan berlaku di sekitar Kuala Kedah.
“Kami mahu Jaik memanggil pasangan berkenaan dan perbetulkan semula dokumen berkaitan daftar nikah serta perkara berkaitan.
“Perkara ini perlu disegerakan dan tidak boleh dipandang ringan sebab ia membabitkan masalah hukum syariah,” katanya.
Beliau bimbang jika dibiarkan berlarutan, masalah itu boleh membawa kepada perlakuan zina.
Pada masa sama, mereka menyambut baik hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang komited membanteras penularan sindiket ini.
Terdahulu, Pengarah Jaik, Datuk Noh Dahya berkata, perkara itu dalam siasatan dan pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan bawah Jabatan Undang-undang Keluarga Islam bagi membuat intipan dan membanterasnya.
Berikutan itu, Noh meminta pasangan suami isteri yang mengesyaki mereka menjadi mangsa sindiket itu tampil ke pejabat agama terdekat bagi membantunya mengesan sindiket tersebut.
Mereka diminta membawa sijil nikah jika timbul keraguan terhadap proses pernikahan.
Sebelum ini, Sinar Harian mendedahkan khidmat sindiket nikah poligami ekspres yang menyediakan pakej termasuk sijil nikah menyerupai Jaik, boleh dilakukan tanpa kehadiran wali dengan bayaran RM3,000. -SH