Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengkaji semula
kebenaran dakwaan bekas timbalannya Tun Musa Hitam yang mengatakan
beliau berada di Kuala Lumpur semasa tragedi Memali pada 1985.
Selepas hampir 30 tahun peristiwa Memali, Musa mendedahkan Dr
Mahathir berada di Kuala Lumpur, bukannya China sebagaimana yang
dilaporkan sebelum ini.
"Saya sedang kaji kebenaran tentang apa yang disebut oleh Tun Musa.
"Pasal ini berlaku sudah begitu lama saya kena semak baliklah
apa yang dia kata betul ataupun tidak,” kata Dr Mahathir selepas
menghadiri majlis dianjur Alumni Universiti Utara Malaysia di Istana
Hotel hari ini.
Pendedahan ini dibuat sendiri oleh Musa ketika peristiwa itu berlaku
pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 orang dan berpuluh yang lain
cedera.
Musa mendedahkan perkara ini dalam “Diskusi Politik Malaysia: Dulu
dan Sekarang” anjuran kerajaan negeri Kelantan yang diadakan di Kota
Baru baru-baru ini.
Turut serta sebagai panel ialah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa
manakala Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof bertindak sebagai
moderator.
Musa ketika menjawab soalan Agus berkata, Dr Mahathir berada di Kuala
Lumpur ketika kejadian itu dan berkata: "Dua tiga hari selepas kejadian
itu pun dia berada di Kuala Lumpur."
Sebelum ini, semua maklumat yang disebarkan ialah Dr Mahathir berada di China ketika kejadian itu.