9 SUSPEK KES CURI KABEL DI BERKAS

KUALA LUMPUR - Polis memberkas sembilan suspek termasuk seorang penjawat awam yang dipercayai terlibat dalam kes curi kabel elektrik bernilai RM90,000 di sebuah tapak pembinaan perumahan di Presint 11, Putrajaya,  19 Mac lepas.    
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kesemua mereka yang berumur 23 hingga 53 tahun ditahan di sekitar Plaza Tol Sri Alam, Lebuhraya Klang/Kuala Lumpur menerusi operasi khas bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan IPK Selangor.     
 
Beliau berkata dalam operasi itu, polis mengesan sebuah kenderaan jenis Honda CRV berwarna hitam dan sebuah moto van jenis Toyota Hiace berwarna putih yang disyaki dinaiki suspek di kawasan plaza tol itu pada 4.30 pagi Khamis lepas.
    
"Pemeriksaan ke atas Honda CRV itu mendapati ia dipandu seorang penjawat awam dan ketika pemeriksaan empat penumpang warga asing itu bertindak melarikan diri setelah berlaku pergelutan.
    
"Tiga lagi suspek warga asing dan seorang lelaki tempatan (pemandu) pula ditahan dalam moto van jenis Toyota Hiace dan keseluruhannya menjadikan tujuh orang suspek warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan dua lelaki tempatan," katanya pada sidang media di IPKKL di sini, hari ini.

Gan berkata hasil pemeriksaan dalam Toyota Hiace itu, polis turut menemui beberapa gulung kabel elektrik pelbagai saiz yang dipercayai baru dicuri di sebuah bilik pameran kereta mewah di kawasan berhampiran plaza tol terbabit.
    
"Kita turut berjaya merampas dua bilah pemotong besi disyaki peralatan yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.
    
Susulan tangkapan itu, membawa kepada empat lagi suspek warganegara India yang mengaku menerima barang-barang berupa kabel elektrik daripada kumpulan warganegara Indonesia yang ditahan sebelum ini.
    
Polis menahan mereka kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ketika membuat serbuan di sebuah kedai perniagaan barang-barang terpakai di Batu 7 1/2, Jalan Sungai Besi, di sini.
    
Pada 19 Mac lepas, beberapa gulung kabel elektrik dilaporkan hilang selepas sekumpulan lapan lelaki warga asing mengikat dua pengawal keselamatan yang bertugas di tapak berkenaan pada pukul 2.30 pagi.
    
"Dengan tertangkapnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan dua kes curi kabel elektrik yang dilaporkan di Kuala Lumpur dan Selangor," katanya. 

sumber ; SINAR