Ahli Geng Lego dicekup

Padang Besar: Sembilan ahli kumpulan Geng Lego yang terbabit dengan kejadian pecah rumah diberkas dalam beberapa serbuan berasingan dijalankan pihak polis sejak 2 April hingga kelmarin.
Dalam serbuan itu, lapan lelaki dan seorang wanita berusia antara 14 sehingga 35 tahun ditahan berdasarkan maklumat awam.

Difahamkan, mereka dipercayai memecah masuk lebih tiga tadika di sekitar Beseri, di sini, selain turut melarikan barang permainan di dalam premis berkenaan termasuk Lego.

Ketua Polis Daerah Superintendan Che Man Md Dros berkata, semua mereka memilih memecah masuk ke premis yang dijadikan tadika kerana berasakan ia lebih mudah.

Katanya, penangkapan suspek terbabit berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah dilaporkan berlaku di daerah Padang Besar selepas diburu sejak awal bulan lalu.


“Polis juga berjaya menemui beberapa barangan curi dilarikan suspek daripada rumah dipecah masuk dianggarkan bernilai lebih RM15,000.

“Semua mereka dicekup secara berasingan kini ditahan reman sehingga 11 April ini untuk siasatan kes yang dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Che Man berkata, dua daripada suspek masih bersekolah dan dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah yang didalangi salah seorang suspek yang juga bekas banduan.

Menurutnya, polis kini mengesan seorang lelaki iaitu Yusri Jusoh, 24, atau dikenali sebagai E Dokong dari Kaki Bukit, di sini, untuk membantu siasatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Rakan Cop di talian 04-9711999.