KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, akan memindahkan operasinya ke terminal baharu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), kata Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun.
“Saya boleh sahkan bahawa kami akan berpindah apabila semuanya OK. Tak perlu bincangkan mengenainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar sesi rundingan meja bulat Kepelbagaian dan Keterangkuman TalentCorp, di sini Rabu.
Pada 1 April lepas, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) di Sepang akan ditutup pada 9 Mei.
Mengulas pengumuman itu pada hari yang sama, AirAsia berkata semua operasi penerbangannya akan terus berpusat di LCCT, malah selepas 9 Mei.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan AirAsia supaya berpindah ke klia2 mengikut jadual, walaupun kerajaan, menerusi Malaysia Airports Holdings Bhd, bersedia mendengar dan berbincang dengan mereka jika ada sebarang masalah berhubung pemindahan itu.
sumber – Mstar