Alami detik seram di bekas hospital bersalin Pulau Pinang!


GEORGE TOWN – Sebuah bangunan berusia 99 tahun dan pernah digunakan sebagai berek tentera ketika zaman pemerintahan British dan hospital tentera laut ketika zaman pendudukan Jepun menjadi tempat sekumpulan 40 orang menimba pengalaman menarik apabila tidur di bangunan tua itu selama dua malam.

Bangunan di Nombor 57, Jalan Macalister itu juga pernah menempatkan hospital bersalin yang dikatakan telah menyaksikan kelahiran lebih 60,000 orang bayi, sebelum operasinya dipindahkan ke Jalan Residensi pada tahun 1955.

Bangunan itu digazetkan sebagai muzium pada 2010 dan merupakan muzium ketiga di bawah pentadbiran Lembaga Muzium Pulau Pinang, selain di Lebuh Farquhar dan Balai Seni Lukis di Dewan Sri Pinang.

Melihat kepada usia dan sejarahnya yang panjang, soalan nakal yang sering dibangkitkan orang ramai terutama pengujung muzium ialah apakah bangunan berhantu?

“Hendak menafikan atau mengiyakan (bangunan berhantu), sukar untuk kami perkatakan… jadi dari sinilah ilham untuk menganjurkan program ini muncul, supaya mereka dapat merasai sendiri pengalaman menyeramkan itu,” kata Pengarah Muzium Pulau Pinang, Haryany Mohamad.

Katanya para peserta menimba pengalaman itu menerusi program ‘Semalaman di No 57, Jalan Macalister’ selama dua malam bermula Jumaat malam lepas.

Jadi persoalannya adakah bermalam di bangunan ini menyeramkan?

“Tidur dalam muzium ini bukanlah sesuatu yang mengerikan, sebaliknya ia pengalaman menyeronokkan selain dapat menambah ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sejarah.

“Seronok sekali-sekala dapat berkumpul ramai-ramai dan dapat berkongsi cerita seram sebelum tidur… dah lama tidak buat begini,” kata Hallan Hashim, 23, penuntut tahun akhir jurusan pengurusan Universiti Sains Malaysia yang merupakan salah seorang peserta program itu.

Beliau berkata petugas muzium memakai kostum doktor, jurubedah, jururawat dan pembantu perubatan bagi mengimbau kembali suasana sebuah hospital.

Katanya peserta juga dipertontonkan dengan lakonan menyambut kelahiran bayi di bilik bersalin selain dibawa melawat bilik bedah mayat dan lebih mengujakan melihat video rakaman insiden menyeramkan seperti kerusi bergerak sendiri yang dikatakan pernah berlaku di dalam bangunan itu.

Mereka turut dihidangkan dengan makanan ala hospital seperti bubur nasi dan sup dalam dulang plastik.

Cameron Kang, 23, seorang ejen insurans pula berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa depan kerana ramai rakan-rakannya tidak dapat mengikutinya disebabkan penyertaan yang terhad.

Sumber: Bernama

966199_834676256549826_6323551264534308157_o
904462_834676623216456_8112760576885481104_o
1973719_834676393216479_4793945453884826918_o
1939593_834676926549759_9101146039667231083_o
10015099_834676419883143_6393496577457356095_o