"Along' pegang kad ATM

Seremban: Seorang kakitangan sebuah pusat kesihatan di Kuala Pilah, dekat sini, berdepan tekanan apabila pinjaman yang dibuat dengan ceti haram atau along sejak dua tahun lalu sehingga kini, belum langsai.
Lebih memburukkan keadaan, along terbabit menyimpan kad juruwang automatik (ATM) mangsa bagi memastikannya membayar ansuran bulanan seperti dijanjikan.

Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan (NESCA) Khairuddin Yunus mendedahkan perkara itu apabila mangsa yang hanya dikenali sebagai Fauziah, 40-an, mengadu kepada persatuan itu kelmarin.

Khairuddin berkata, mangsa meminjam RM5,000 lebih dua tahun lalu dan membayar ansuran bulanan berjumlah RM300 menerusi kad ATM yang dipegang along.

“Berdasarkan maklumat diberikan, mangsa sudah membayar ansuran bulanan lebih RM7,000 tetapi sehingga kini hutang berkenaan belum selesai, malah dikatakan berbaki RM2,300.


“Mangsa tidak puas hati dan berhadapan tekanan kerana menyangkakan hutangnya sudah diselesaikan selepas membayarnya setiap bulan.

“Lebih teruk, along terbabit dikatakan cuba menggugut mangsa supaya terus menjelaskan bayaran bulanan dan jika enggan perkara itu akan diambil tindakan undang-undang dengan menunjukkan satu surat peguam,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya along terbabit cuba bertindak ala gangster dengan memaksa mangsa membayar ansuran bulanan, malah kad ATM miliknya itu juga masih berada di tangan along berkenaan.

sumber - metro