Anak beranak tidur bawah garaj

Anak beranak tidur bawah garaj

JITRA - Sebuah keluarga di Taman Jitra, dekat sini, terpaksa berteduh di bawah garaj kediaman dengan hanya berdindingkan tikar plastik setelah rumah mereka dijilat api dua minggu lalu.

Lebih memilukan, mereka juga terpaksa menggunakan tikar getah, kain cadar dan payung lama untuk menutup lubang dinding itu akibat tidak berkemampuan.

Begitulah nasib malang terpaksa dilalui, Siahrom Ali, 56, bersama suami, Ibrahim Saad, 57, dan anak bongsu mereka, Nur Annisa Masali, 13, apabila rumah sewa musnah dalam kebakaran.

“Meskipun tidak selesa dengan panas matahari dan ketika musim hujan, namun kami terpaksa menumpang teduh di bawah garaj yang dijadikan tempat tinggal sementara ini.

“Selepas kebakaran memusnahkan hampir 80 peratus rumah sewa itu, pihak bomba nasihatkan makcik sekeluarga supaya tidak masuk dalam kerana berbahaya,” katanya.

Lebih menyulitkan, katanya, tiada bekalan air dan elektrik menyebabkan dia terpaksa meminta belas ihsan jiran tetangga.

Menurutnya, apa membimbangkan ada penagih dadah di kawasan itu menyebabkan dirinya khuatir, ditambah anak bongsu seorang perempuan.

“Anjing liar kerap kali memasuki pekarangan kediaman kami. Nak tinggalkan tempat sementara ini, takut barang kena curi, duduk pula rasa tak sedap hati,” katanya.

Menurutnya, meskipun ada anaknya tinggal berhampiran, namun dia tidak ingin menyusahkan mereka yang juga mempunyai tanggungan yang ramai.

Dalam pada itu, orang ramai yang bersimpati bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun ASNB Siahrom (010048621) ataupun menghubunginya menerusi talian 019-5578574.

sumber - sinar