Mana lebih buruk pengaruhnya? Tarian tiang atau mesin hiburan simulator? |
Abu Tholib menuduh perniagaan yang menjalankan pusat hiburan simulator
kerana pengusahanya menjalankan aktiviti berbentuk perjudian. Dia juga
menggesa agar Kerajaan Negeri Kedah membatalkan semua lesen perniagaan
jenis tersebut.
Hadzim pula memberikan kenyataan yang lebih "politik". Katanya, kalau
kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah sebelum ini mampu "membekukan semua
lesen hiburan", dia menggesa agar Barisan Nasional (BN) juga melakukan
perkara tersebut.
Penulis agak hairan dengan kenyataan kedua pemimpin muda parti
pembangkang ini. Yang seorang seolah-olah "nak tunjuk bagus", manakala
yang seorang lagi bagaikan "katak di bawah tempurung" dan "baru nak
kenal dunia".
Bukanlah penulis mahu memperlekeh pandangan atau kenyataan kedua
pemimpin muda pembangkang itu. Tapi nampaknya mereka seolah-olah tidak
membuat "homework" sebelum menyerang. Bak pepatah moden, "pakai helmet,
sebelum serbu"!
Sedarkah Abu Tholib bahawa Kerajaan PAS Negeri Kedah sebelum ini sangat
aktif memberikan kelulusan lesen-lesen baru bagi pusat-pusat hiburan.
Kalau tidak percaya, sila "google" sendiri dan baca laporan media
mengenai kelulusan pusat hiburan yang berleluasa di zaman pentadbiran
partinya.
Faktanya, sejak memerintah Kedah pada tahun 2008 hingga 2012 sahaja,
Kerajaan PAS Negeri Kedah telah meluluskan 4 lesen perniagaan baru
pusat-pusat hiburan. Fakta itu diakui sendiri oleh bekas Menteri Besar,
Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Malah bekas Pesuruhjaya PAS yang dihormati kawan dan lawan itu
menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak boleh menghalang rakyat
Kedah untuk berhibur,
tetapi perjalanan pusat-pusat tersebut adalah dalam kawalan pihak
berkuasa tempatan.
Seperkara lagi, Abu Tholib jangan lupa tentang kebajiran pusat hiburan
haram yang tumbuh "subur" di Kedah ketika PAS berkuasa. Mengapa PAS
hanya "berpeluk tubuh" saja melihat pub, disko, kelab malam, rumah-rumah
urut dan pusat judi? Bukankah pusat-pusat hiburan itu lebih teruk
ancamannya terhadap rakyat Kedah berbanding pusat hiburan simulator?
Jadi, siapa Abu Tholib yang mahu "mengharamkan" sesuatu yang "dihalalkan" Menteri Besar PAS sendiri?
Selain itu, adalah tidak masuk akal sama sekali kenyataan yang
dikeluarkan oleh Hadzim tentang dasar kerajaan Pakatan Rakyat sebelum
ini. Lebih memalukan, kenyataan "buta politik" yang dinyatakan itu jelas
bertentangan dengan fakta!
Hadzim baru kenal dunia politik, kah? Apakah dia tidak mencari fakta
sebelum mengeluarkan kenyataan? Apakah Hadzim terlalu "jahil" untuk
memahami bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah sebelum ini mengeluarkan 4
lesen hiburan baru sepanjang 5 tahun mereka mentadbir?
Penulis tidak faham bagaimana anak-anak muda PKR tergamak melantik
Hadzim sebagai pemimpin mereka. Inikah sifat pemimpin pelapis yang akan
menggantikan kepimpinan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim? "Bapa
borek, anak rintik"?
Penulis memohon kedua "tokoh" muda pembangkang Kedah itu agar tidak lagi
bersikap semberono memberi kenyataan kepada media. Rakyat Kedah
bukannya bodoh atau buta fakta untuk menilai sebuah kebenaran. Jangan
rendahkan mentaliti orang Kedah, tolonglah... - UtaraNews.com