KUALA LUMPUR - Seorang bakal pengantin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas 11 tuduhan mengeluarkan wang berjumlah RM9,650 di mesin teler automatik (ATM) milik akaun orang lain tanpa kebenaran, dua tahun lalu.
Tertuduh, Syafaridah Syafril, 23, dari Hulu Langat, Selangor meminta dibicarakan setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim.
Dia didakwa mengeluarkan wang tersebut sebanyak 11 kali secara berasingan dari dua buah mesin ATM yang sama tanpa kebenaran pemilik akaun, Zaiton Ibrahim, 48.
Perbuatan tertuduh itu dilakukan di mesin ATM Bank Islam dan Alliance Bank milik akaun mangsa di bangunan Capital Square, Dang Wangi di sini antara 27 Disember 2011 sehingga 29 Disember 2012.
sumber - Kosmo