Barca,United gigit jari

MADRID - Atletico Madrid berjaya menjinakkan Lionel Messi dan Neymar untuk menyingkirkan gergasi bola sepak Eropah, Barcelona pada suku akhir Liga Juara-juara, manakala kesilapan 'budak sekolah' menyebabkan Manchester United turut terkandas selepas tunduk 1-3 kepada penyandang juara, Bayern Munich semalam.

Selepas terikat 1-1 pada suku ak­hir pertama di tempat sendiri minggu lalu, jaringan awal pemain tengah Sepanyol, Koke pada minit kelima membantu Atletico menumbangkan juara empat kali, Barcelona 1-0 di Vicente Calderon, sekali gus mara menerusi agregat 2-1.

Kemenangan ini meneruskan musim cemerlang Atletico di bawah bimbingan bekas pemain tengah mereka, Diego Simeone. Pasukan itu, yang kini turut mendahului Liga Sepanyol, melangkah ke separuh akhir kelab elit Eropah buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.

Anak-anak buah Simeone melancarkan serangan bertali arus dalam tempoh 20 minit pertama selepas voli Koke dari jarak dekat menyemarakkan semangat rakan-rakan sepasukannya, malah bekas penyerang Barcelona, David Villa juga beroleh dua peluang terbaik, namun rembatannya mengenai palang gol.

Selepas diasak hebat pada babak pertama, Barcelona cuba bangkit pada separuh masa kedua, namun Simeone menerapkan taktikal bijak iaitu mengawal ketat setiap penjuru benteng menyebabkan Messi mahu pun Neymar gagal melakukan gerakan-gerakan menarik, sebelum membawa Atletico menjejakkan kaki ke peringkat empat pasukan terbaik.

"Permainan yang ditunjukkan oleh pasukan ini sangat luar biasa.

"Kami banyak berlari, mengawal permainan dengan cara yang kami mahukan dan saya fikir kami memang berhak muncul pemenang hari ini.

"Dengan sokongan padu ribuan penyokong di stadium, memang sukar untuk kami kalah dalam perlawanan di sini," kata Koke kepada stesen televisyen Sepanyol, Canal Plus.

Biarpun beraksi tanpa penjaring terbanyak, Diego Costa dan pe­rancang utama, Arda Turan akibat kecederaan, namun kekurangan itu tidak menghalang Atletico daripada melakar kejutan. Siapa lawan yang bakal ditentang mereka pada separuh akhir nanti akan diketahui dalam majlis undian di Nyon, Switzerland hari ini.

Sementara itu, kesilapan 'budak sekolah' yang dilakukan benteng pertahanan, selain kegagalan Wayne Rooney menyempurnakan peluang keemasan menyebabkan United tersingkir daripada Liga Juara-juara selepas tumpas menerusi agregat 2-4 kepada juara lima kali, Bayern.

Anak-anak buah David Moyes bermula baik apabila mendahului menerusi tendangan voli cantik Patrice Evra pada minit ke-57, namun mereka meraikan jaringan tersebut terlalu lama dan akibatnya, Mario Mandzukic berjaya menyamakan kedudukan 22 saat selepas permainan disambung menerusi tandukan.
Pada minit ke-62, Rooney mensia-siakan peluang terbaik United untuk menambah jaringan apabila dia yang hanya berdepan penjaga gol, Manuel Neuer lewat melepaskan tendangan.

United dihukum dengan gol kedua Bayern menerusi tendangan jarak dekat Thomas Mueller pada minit ke-68, sebelum Arjen Robben melengkapkan kemenangan 3-1 tuan rumah pada minit ke-76.

Pada ketika United tampak mustahil untuk menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dalam kelompok empat teratas, penyingkiran di suku akhir Liga Juara-juara semalam hampir menutup impian mereka untuk beraksi dalam kancah kelab elit Eropah itu musim depan. 

sumber - AGENSI