TANJUNG RHU - KEDAH. Pengusaha bot pelancong kecewa dengan tindakan menyekat kemasukan bas yang membawa pelancong ke jeti untuk mendapatkan perkhidmatan lawatan ke kawasan Geopark.
Pengerusi jeti pelancong Tanjung Rhu, Rosli Mohamed Saad, 47, berkata, tindakan itu memberi tamparan hebat kepada pengusaha-pengusaha bot pelancong.
“Kami sedih selama ini pelbagai masalah terpaksa kami tempuh, seolah-olah diperkotak-katikkan dan tiada sesiapa pun mampu menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Rentetan arahan terbaru itu, pihaknya membuat satu laporan polis kerana tindakan menyekat bas pelancong itu tidak wajar.
“Laporan polis itu juga sebagai langkah keselamatan kepada semua pengusaha bot pelancongan sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini," katanya.
Rosli berharap pembangunan pelancongan yang dikecapi semua pihak wajar dikongsi bersama.
“Mereka langsung tidak prihatin kepada penduduk yang bergantung hidup menjana pendapatan dengan mengusahakan bot pelancong,” katanya.
Berikutan itu, pihaknya mohon pihak berkenaan segera menyelesaikan kemelut anak tempatan yang seolah-olah ‘melukut di tepi gantang’.
Difahamkan sebuah bas pelancong yang membawa seramai 39 penumpang disekat di jalan raya dan pelancong terpaksa berjalan hampir 400 meter untuk ke jeti.
Difahamkan, terdapat pelancong dari China, Timur Tengah dan Amerika serta empat dari Malaysia ketika itu.