LONDON- Pengurus Chelsea, Jose Mourinho dijangka terpaksa menjual salah seorang pemain tengah iaitu Oscar dan Eden Hazard bagi menampung perbelanjaan pemain pada Jun depan.
Mourinho telah menerima 'lampu hijau' dari pemilik The Blues, Roman Abramovich yang bersetuju untuk melepaskan tiga penyerang Chelsea pada musim depan.
Tiga pemain pemain yang dimaksudkan itu adalah Fernando Torres, Samuel Eto'o dan Demba Ba.
Sementara Romelu Lukaku yang dipinjamkan ke Everton pada musim ini, masih mendapat kepercayaan Abramovich untuk terus kekal bersama Chelsea.
Mourinho mula hilang sabar dengan prestasi penyerang-penyerang The Blues sejurus kekalahan 1-3 di tangan Paris Saint Germain (PSG) pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara.
Bekas jurulatih Real Madrid itu kini mula memantau perkembangan penyerang Atletico Madrid, Diego Costa dan bintang Bayern, Mario Mandzukic.
Selain penyerang, Mourinho juga dikatakan telah bersedia untuk menjual tonggak pertahanan, David Luiz yang menjadi sasaran kelab gergasi Jerman, Bayern Munich dan PSG.
Begitupun, Mourinho dimaklumkan bahawa beliau tidak akan diperuntukkan dana besar jika berhajat untuk mendapatkan pemain-pemain bertaraf dunia.
Sebaliknya, Mourinho disarankan agar menjual salah seorang pemain ternama seperti Oscar dan Hazard yang memiliki harga pasaran tinggi jika mahu mendapatkan dana besar dalam jendela perpindahan pemain pada Jun depan.
sumber - Kosmo