Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei sekali lagi berjaya membenam ego Chen Long dengan menewaskan jaguh China itu 21-13, 21-17 pada perlawanan akhir Siri Super Terbuka India semalam.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan jaguh perseorangan negara itu berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada musim lalu.
Pada perlawanan di Kompleks Sukan Siri Fort, Chong Wei dilihat tenang menguasai permainan pada set pertama dengan kerap memperdaya Chen Long menerusi permainan di jaring.
Chen Long bagaimanapun cuba bangkit pada set kedua, namun Chong Wei mempamerkan rentak mantap untuk meraih kemenangan mutlak.
“Saya tiada sebarang tekanan dan hanya mahu beraksi sebaik mungkin dan akhirnya ia membuahkan hasil.
“Terima kasih kepada penyokong yang hadir ke stadium dan memberi sokongan padu kepada saya,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
CHEN Long gagal tandingi Chong Wei.
Terbuka India adalah kejuaraan ketiga dimenangi Chong Wei musim ini selepas mendominasi Siri Super Premier Terbuka Malaysia, Januari lalu dan saingan Seluruh England.
Kemenangan itu juga melebarkan rekod pertemuan dengan Chen Long kepada sembilan kemenangan.