DADAH BUNUH AGAMA DAN NYAWA


Apabila banyak kisah individu diberkas kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah didedahkan media, ramai yang melahirkan rasa ‘tidak terkejut’ kerana menganggap itu sebahagian daripada cara hidup moden. 

Namun, tragedi kematian enam remaja serentak baru-baru ini akibat pengambilan dadah berlebihan menimbulkan reaksi masyarakat agak berbeza.Penagihan dadah memusnahkan hidup manusia, meruntuhkan institusi kekeluargaan, mengancam keselamatan awam, bangsa dan negara. Tidak pernah ada liputan berita menyatakan kehidupan menjadi sempurna kerana dadah, sebaliknya hampir semua menonjolkan dadah sebagai racun yang membunuh nyawa dan agama. 




Memandangkan majoriti rakyat negara ini berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka golongan ini jugalah yang mendominasi jenayah. Tangkapan demi tangkapan membuktikan najis dadah menjadi makanan harian segelintir umat Islam yang percaya kepada qada dan qadar Allah SWT. 

Mereka ini arif soal hukum dan hakam serta kehidupan sesudah mati, yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri masing-masing, tetapi masih tidak mampu mengawal diri daripada tertipu dengan keindahan dunia yang tidak kekal lama. 


Penyalahgunaan dadah haram 

Walaupun najis dadah tidak pernah disebut dalam nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW, tetapi penyalahgunaan dadah jelas haram hukumnya berdasarkan beberapa dalil yang diqiyaskan ke atas arak atau perkara memabukkan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90) 

Arak yang disebutkan ayat itu sebahagian contoh perbuatan kotor dan amalan syaitan. 
Sudah tentulah apa saja perbuatan syaitan adalah perbuatan yang mensyirikkan Allah SWT. Itulah juga akibat daripada penagihan dadah yang di’illahkan sama seperti arak. 

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.” Kerana setiap yang memabukkan adalah khamar (arak), maka kita tidak boleh mengatakan hanya arak saja diharamkan dan bukan yang lainnya. 

Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW: “Pasti akan ada manusia dalam kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain.” 

Arak dan dadah akan menyebabkan seseorang itu hilang kewarasan serta melakukan perbuatan jahat yang ditegah agama seperti berzina atau berbunuhan. Malah gejala sosial yang tidak terkawal hari ini juga ada hubung kaitnya dengan pertambahan individu yang mengambil arak dan dadah. 

Tanggungjawab membanteras gejala dadah bukan terbeban kepada penggubal undang-undang atau penguatkuasaan saja. Sebaliknya ia tanggungjawab semua pihak yang sayangkan agama dan negara. 


Rokok dekatkan diri kepada dadah 

Dewasa ini, golongan bawah umur sudah ramai yang menghisap rokok, termasuk kanak-kanak perempuan. Ia tidak mengejutkan kerana kanak-kanak memang mudah terikut dan diikut. Hal ini tentulah membimbangkan kerana rokok mendekatkan mereka kepada dadah. 

Ibaratnya, apabila sudah cukup handal menghisap rokok, mereka akan beralih kepada dadah pula dan ia menjadi lambang kejaguhan. Justeru, teman rapat yang tidak terjebak harus menunaikan tanggungjawab membantu mereka memulihkan diri. 

Disebabkan ramai golongan muda yang lebih akrab dengan rakan sebaya berbanding ibu bapa, teman yang patut membantu ibu bapa mengatasi masalah ini dengan melaporkan salah laku kepada ibu bapa atau pihak berkuasa supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan segera. 

Orang awam pula harus berasa bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa dan akidah waris agama yang semakin terancam kebelakangan ini disebabkan gejala sosial. Media juga harus mengambil kesempatan menonjolkan betapa jijik najis dadah.

sumber : Berita Harian