Kuantan: Menuding jari menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memang mudah dan menjadi lumrah keputusan dibuat badan induk bola sepak negara itu dipertikaikan ahli gabungannya sendiri.
Pelbagai tuduhan sumbang sanggup dilemparkan semata-mata untuk menegakkan benang basah dan memuaskan hati walaupun tindakan berkenaan dianggap tidak profesional. Bekas Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, amat memalukan apabila pemimpin yang dihormati sanggup mengeluarkan kenyataan kurang manis terhadap FAM hanya kerana tidak berpuas hati.
Menurutnya, ketika bola sepak negara memasuki era profesional, setiap keputusan dibuat FAM yang sepatutnya dihormati semua pihak kini dipertikaikan hingga menjejaskan imej badan induk bola sepak negara itu.
Katanya, sikap suka menyalahkan orang lain menjadi penyumbang utama yang mengeruhkan keadaan sehingga usaha murni dilakukan barisan pegawai FAM sebelum ini seolah-olah dilupakan begitu saja.
“Saya berharap pihak suka menyalahkan FAM apabila tidak berpuas hati supaya segera sedar yang perbuatan berkenaan bukan budaya masyarakat negara ini.
“Mereka perlu akur dengan setiap keputusan badan induk bola sepak negara itu. Jika tidak berpuas hati, buat bantahan mengikut saluran bukan menggunakan media untuk meluahkan perasaan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang menggesa pengerusi dan semua anggota Jawatankuasa Tatatertib FAM meletakkan jawatan kerana didakwa tidak berani membuat keputusan adil dan bebas selain memilih bulu berhubung isu ‘Terowong Larkin’.
Ahmad dikatakan tidak berpuas hati selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM mengenakan denda RM30,000 ke atas Johor Darul Ta'zim (Johor DT) kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan di stadium sehingga mendorong kepada insiden pergaduhan membabitkan pegawai dan pemain T-Team. Jamal Nasir berkata, FAM membuat keputusan yang dianggap terbaik terutama selepas mengambil kira pelbagai perkara untuk kebaikan semua pihak.
“Tidak mungkin FAM dapat memuaskan hati semua pihak. Saya berpendapat pegawai FAM menjalankan tugas dengan profesional walaupun ada pihak begitu lantang mempertikaikannya.
“Saya berharap pegawai FAM tidak mudah menyerah kalah dan anggaplah kritikan itu sebagai cabaran yang akan mematangkan mereka,” katanya.
sumber - Metro