Diserang ketika minum

Butterworth: Gara-gara tidak menjelaskan hutang dipinjam daripada along, seorang lelaki dan rakannya parah ditetak sekumpulan 20 penyerang dalam kejadian di sebuah restoran di Pasar Awam Sama Gagah di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa berusia 46 dan 58 tahun itu dikatakan sedang minum sebelum didatangi penyerang berkenaan yang menaiki tujuh kereta dan terus meluru ke arah mereka.

Akibat kejadian itu, lelaki berkenaan cedera parah akibat ditetak di kepala, belakang badan serta tangan dan dilaporkan dalam keadaan kritikal serta dirawat di wad Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala rakannya ditempatkan di wad Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sebelum serangan berlaku suspek dipercayai sudah mengenal pasti mangsa kerana mereka terus meluru ke arah kedua-dua lelaki berkenaan yang berada di premis terbabit.

“Hasil siasatan awal kami mendapati kejadian berpunca akibat rasa tidak puas hati apabila seorang daripada mangsa gagal menjelaskan hutang pinjaman daripada along seperti ditetapkan.


“Tindakan itu mencetuskan kemarahan kumpulan berkenaan yang kemudian menyerang mangsa ketika sedang minum bersama seorang lagi rakannya di kedai terbabit,” katanya selepas merasmikan Kempen Cegah Kecurian Motosikal Peringkat Pulau Pinang, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis negeri Datuk A Thaiveegan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.

Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan serangan itu didalangi kumpulan kongsi gelap yang bertindak ganas dengan melakukan serangan di kawasan awam.

Difahamkan orang ramai yang cuba meleraikan pergaduhan bagaimanapun gagal sebelum menghubungi polis berikutan risau dengan tindakan ganas kumpulan kongsi gelap terbabit yang bersenjatakan parang panjang dan pisau. Sehingga petang semalam, polis belum menahan mana-mana individu bagi membantu siasatan kes, tetapi sudah mengenal pasti kumpulan kongsi gelap dipercayai bertanggungjawab melakukan serangan itu.
sumber - metro