Ditetak ketika tunggu rakan

Ditetak ketika menunggu rakan

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki cedera parah ditetak sekumpulan individu dekat Taman Ria Jaya, Sungai Petani dalam kejadian lebih kurang jam 6 pagi semalam.

Mangsa, A Joash Johnson, 22, dari Georgetown, Pulau Pinang, dikatakan berada di lokasi kejadian untuk menemui rakannya.

Bagaimanapun, dia kemudian dipercayai diserang lima lelaki yang menaiki sebuah kenderaan.

Difahamkan, suspek keluar dari kenderaan sebelum  meluru ke arah mangsa dan berlaku pergaduhan sebelum mangsa ditetak di bahagian muka dan badan.

Akibat kejadian, mangsa cedera parah di muka dan perut sebelah kanan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di muka, bahagian tepi dada sebelah kanan, bahagian tulang belakang badan dan tangan kiri mangsa.

“Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani,” katanya.

Menurutnya, polis menjalankan siasatan berhubung kejadian dan mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian itu dan kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bagi membantu siasatan.