ALOR SETAR - Seorang pekerja warga asing tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa yang didiami bersama dua rakan hangus dalam kebakaran berhampiran Pasar Koboi, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu melibatkan sederet 10 rumah setinggan kayu beratap zink yang didiami tujuh keluarga dan pekerja asing tersebut serta tiga rumah kosong.
Malang buat Md Loy, 30, yang bekerja sebagai buruh kontrak selepas sejumlah wang tunai RM3,500 yang disimpan untuk pulang ke Bangladesh bulan depan, kini jadi abu.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dan bergegas keluar menyelamatkan diri selepas menyedari rumah dijilat api.
“Saya hanya tinggal sehelai baju dan kain saja....duit, pakaian, telefon, televisyen dan DVD player semua hangus. Barang kosmetik untuk hadiah kepada isteri di kampung juga terbakar.
“Sudah dua bulan lebih saya kumpul duit nak balik kampung di Dhaka, beli barang sikit-sikit nak bawa balik. Tapi sekarang semua tak ada... saya tak tahu nak buat apa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Dalam pada itu, kebakaran itu juga menyebabkan seorang peniaga laksa, Lim Chu Lai, 60, kerugian kira-kira RM30,000 termasuk wang RM10,000 yang hangus bersama rumahnya.
“Wang tunai itu saya letak bawah tilam dan saya bercadang untuk guna duit itu untuk beli barang berniaga tetapi malangnya ia turut terbakar.
“Kami tak sempat buat apa-apa untuk selamatkan barang rumah sebab bila sedar rumah saya sudah kena api. Kami cepat-cepat lari keluar selamatkan diri,” katanya yang tinggal bersama isteri, tiga anak dan seorang menantu.
Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Setar, Penguasa Bomba Mustafa Kamal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 12. 51 pagi.
Menurutnya, sebanyak tiga jentera termasuk jentera tangki air digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 15 anggota.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.59 pagi dan padam seluruhnya pada jam 4.34 pagi.
“Operasi menyelamat juga turut membabitkan sembilan pasukan bomba sukarela. Kita juga mendapat kerjasama daripada pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad,” katanya.
Tambah beliau, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian terbabit.
“Setakat ini kita masih menyiasat punca kejadian. Siasatan awal kita percaya ia mungkin berpunca daripada litar pintas, manakala anggaran kerugian juga masih dalam siasatan,” katanya.
sumber - Sinar