EXCO negeri Selangor Elizabeth Wong mengumumkan menarik diri dari bertanding jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan depan dengan alasan mahu mempertahankan jawatannya dalam Majlis Kepimpinan Pusat.
“Ya, saya telah menulis surat untuk menarik diri dari bertanding jawatan Naib Presiden kerana saya rasa sudah terlalu banyak calon jawatan itu mampu memikul tugas berkenaan,” katanya diluar Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Laporan The Malaysian Insider (TMI) hari ini menyebut, pemilihan PKR bakal diadakan bulan depan dan keputusannya bakal diketahui selewat-lewatnya pada 11 Mei depan.
Dengan Wong menarik diri, perebutan jawatan Naib Presiden itu kini akan direbut 15 calon untuk mendapat empat slot jawatan berkenaan.
Untuk jawatan di Majlis Kepimpinan Pusat pula ada 20 kerusi, dan hanya dua calon dari kesemua 78 calon sudah menarik diri.
Bagi pertandingan sayap Wanita Keadilan, hanya seorang menarik diri dari senarai 30 calon bertanding.
Pada pemilihan kali ini, seramai 500,001 ahli PKR layak membuat pemilihan dengan Selangor merupakan bilangan ahli PKR paling ramai iaitu 144,020 dan diikuti Sabah dengan 86,955. sumber– MYNEWSHUB