Seorang gadis mengaku dirogol lelaki yang baharu dikenalinya sejak
seminggu lalu selepas mengalami kesakitan pada alat sulitnya.
Difahamkan, mangsa yang baharu berusia 15 tahun dan berasal dari
Petra Jaya mengadu perkara tersebut kepada guru kaunseling di sekolahnya
ekoran tidak tahan dengan kesakitan yang dialaminya.
Menurut sumber, mangsa mengaku telah dirogol oleh seorang lelaki yang
hanya dikenali sebagai Amirzul dipercayai berusia 19 tahun melalui
seorang daripada rakannya.
“Lelaki (suspek) telah mengambil mangsa di rumahnya sekitar jam 4.30 petang Rabu lepas dengan menaiki sebuah motosikal.
“Mangsa kemudian dibawa oleh lelaki terbabit ke dalam hutan
berdekatan dan memaksa mangsa melakukan hubungan seks dengannya sebelum
dihantar pulang selepas itu,” katanya.
Keluarga mangsa pada mulanya tidak mengetahui insiden tersebut
kerana mangsa takut untuk menceritakannya sehingga diberitahu oleh guru
kaunseling iaitu sehari selepas kejadian.
Mangsa kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk melaporkan mengenai perkara tersebut.
Ketua Polis daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad semasa dihubungi
mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan memberitahu
pihaknya masih menjalankan siasatan.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalani
pemeriksaan sementara siasatan polis masih diteruskan,” katanya, lapor
Utusan Borneo.
Sumber: Utusan Borneo