Hasutan di Twitter,telefon bimbit Tian Chua dirampas

SEGERA: Telefon Bimbit Tian Chua Dirampas Berhubung Laporan Hasutan Di Twitter
Pihak polis mengesahkan pada jam 7.45 malam, bertarikh 14 April 2014, bertempat di Hotel Armada, Jalan Utara, Petaling Jaya, Selangor, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur telah menahan dan menyita sebuah telefon bimbit dari milikan YB Tian Chua @ Chua Tian Chang juga merupakan Ahli Parlimen Batu.
Penyitaan sebuah telefon bimbit berkenaan adalah berkaitan dengan suatu penyiasatan polis dibawah Seksyen : 4 (1) (C) Akta Hasutan 1948. berhubung dengan satu laporan polis yang dibuat oleh orang awam di Balai Polis Chow Kit pada 8 Mac 2014, terhadap suatu twitter yang disifatkan berbaur hasutan.
Di dalam kejadian penahanan ini, pihak polis hanya menahan subjek bagi tujuan melaksanakan “waran” bagi memeriksa dan menyita telefon bimbit dari penama berkenaan.
Melalui kenyataan media ini, pihak polis mengesahkan bahawa penama berkenaan tidak ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk disoalsiasat sebagaimana didakwa.
Sebaliknya penama hanya ditahan di tempat kejadian bagi menerangkan maksud “WARAN PEMERIKSAAN” yang telah diperolehi dari Mahkamah untuk menyita telefon bimbit dari penama tersebut yang telah dibebaskan di tempat kejadian sebaik sahaja telefon bimbitnya disita.