Helang Merah akan bangkit!

Alor Setar: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) membuat perubahan drastik apabila melantik bekas penolong jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengemudi skuad Helang Merah pada aksi pertama pusingan kedua Liga Perdana menentang UiTM FC di Stadium Darulaman, malam ini.
Beliau menggantikan bekas penyerang Selangor, David Mitchell yang khidmatnya digantung selepas gagal menyerlahkan kebangkitan Kedah sepanjang pusingan pertama liga.
Menurut Cheng Hoe pelantikan itu seperti impian menjadi kenyataan kerana sebelum ini pernah menjadi penolong jurulatih Kedah pada 2002.
“Saya memang teruja atas pelantikan ini sekalipun tidak pernah menjangka diberi tugas besar ini,” katanya yang pernah menyarung jersi Kedah, Kelantan, Perlis dan Selangor.
Baginya, Kedah memiliki sejarah besar dan pelantikan itu satu penghormatan buat dirinya.
“Kedah menaikkan nama saya sebagai pemain dan kini sudah tiba masa untuk membalas jasa selaku sebagai bekas pemain sewaktu di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil dari 1987 sehingga 1992 sebelum dibelenggu kecederaan.
“Saya akan curahkan segala pengalaman dan ilmu bola sepak sewaktu menjadi penolong kepada Datuk K Rajagobal bagi mengembalikan semula kegemilangan Kedah yang pernah digeruni lawan satu ketika dulu.
“Sasaran saya untuk memastikan Kedah berada dalam tiga kelompok teratas liga,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui kedudukan dan mata yang dikutip ketika ini agak menyukarkannya untuk membawa Kedah ke Liga Super musim depan namun dalam bola sepak tiada istilah mustahil.
“Saya pernah menonton beberapa perlawanan membabitkan Kedah dan saya yakin pasukan ini berkemampuan bangkit semula dengan syarat pemain juga komited untuk berjaya.
Menjelang pertemuan dengan UiTM FC malam ini, beliau sudah menyusun strategi dengan formasi serta corak berbeza.
“Ini perlawanan pertama saya dan berharap apa yang dirancang ketika latihan akan menghasilkan kemenangan,” katanya.