Alor Setar: Hasrat seorang remaja lelaki mahu menghadiri sesi temu duga sebagai anggota bomba berakhir dengan tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangi terbabit dalam kemalangan di simpang Taman Derga Jaya, Jalan Datuk Kumbar, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi, mangsa Muhammad Najmin Ismail, 23, dari Kampung Rambai, Tokai, Pendang, dalam perjalanan ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jalan Tun Razak, di sini, untuk menghadiri sesi temu duga pada jam 8 pagi.
Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangnya bergesel dengan kereta dipercayai keluar dari persimpangan taman perumahan itu secara tiba-tiba menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi kanan kereta itu. Difahamkan, akibat rempuhan itu mangsa tercampak sejauh tiga meter ke laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta Perodua Kelisa dari arah bertentangan menyebabkannya maut serta-merta di tempat kejadian.
Bapa mangsa Ismail Sulaiman, 59, berkata, sebaik diberitahu mengenai kejadian menimpa anak kedua daripada empat beradik itu, dia bergegas ke lokasi kemalangan dan tidak menyangka arwah sudah tidak bernyawa walaupun dilihat hanya mengalami kecederaan ringan.
“Luluh hati saya sebaik melihat jasad arwah dalam keadaan kaku ditutup dengan plastik. Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan ketika itu kerana sebelum kejadian dia kelihatan bersemangat untuk menghadiri temu duga itu.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah jam 7.15 pagi tadi (semalam) ketika dia mahu keluar rumah. Selepas beberapa minit, dia berpatah balik kerana tertinggal baju kemeja yang mahu dipakai di dalam bilik dan meminta saya mengambilnya.
“Beberapa hari sebelum kejadian, arwah begitu bersemangat membuat persediaan menghadiri temu duga itu iaitu temu duga keempat cuba dihadirinya selepas Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dia meminta bantuan saya membuat salinan kesemua sijilnya dan sebagai bapa saya menyokong cita-citanya untuk menjadi anggota beruniform,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rambai, Tokai, Pendang, di sini.
Ismail yang masih terkejut dengan pemergian anaknya berkata, dia reda dan menganggap kejadian terbabit sebagai ujian daripada Allah SWT terhadap keluarganya.
Rakan mangsa Mohd Hassani Abidin, 21, yang turut melalui jalan sama untuk ke tempat kerja, berkata dia mengecam mangsa apabila melihat kasut yang dipakai rakannya lalu memberhentikan motosikal bagi membuat pemeriksaan.
“Saya tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian dan melihat mangsa berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
“Selang beberapa minit kemudian arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat cedera di kepala, muka dan badan.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Rambai kira-kira jam 5 petang semalam sejurus selepas solat Asar.