(gambar hiasan) |
ALOR SETAR- Seorang pesawah yang mahu membersihkan bendangnya di
Kampung Tuba, Pokok Sena dekat sini hari ini, terkejut apabila objek
yang ditarik keluar dari petak sawah menggunakan cangkul merupakan mayat
seorang lelaki.
Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Saari Ariffin, 68, berkata dia
ternampak satu objek yang seakan-akan kepala manusia ketika mahu
membersihkan petak sawah tersebut.
“Saya menggunakan cangkul untuk menariknya keluar dan
alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati objek itu ialah mayat
yang seolah-olah sudah dikafankan,” katanya yang ditemui di lokasi
kejadian.
Saari berkata dia sudah dua bulan tidak ke sawah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Tok Keling.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan
yang mengesahkan penemuan berkata mayat yang belum dikenal pasti
identitinya itu ditanam di dalam lubang sedalam 0.6 meter.
Polis percaya mayat tersebut dibuang di situ sejak seminggu lalu
berdasarkan pemeriksaan awal yang mendapati mayat sudah mereput 60
peratus, katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat.