ALOR SETAR - Perkataan provokasi R4masi 2.0 yang didakwa menimbulkan kontroversi turut dikesan di beberapa tempat awam sekitar Bandaraya Alor Setar, dekat sini.
Tinjauan mendapati ada tempat awam seperti hentian bas, gerai, dinding bangunan mahupun kenderaan diconteng cat berwarna merah sehingga didakwa mencetuskan ketidakselesaan.
Terbaru, kebanyakan pengguna lalu lintas pastinya dapat menyaksikan bahagian bawah jambatan Telok Wanjah diconteng perkataan serupa.
Manakala, sebuah hentian bas berhampiran Stadium Darul Aman, dekat sini, juga dilihat menjadi mangsa perbuatan individu tidak bertanggungjawab itu.
Entah apa niatnya, sebuah lori dipercayai milik persendirian juga menerima nasib serupa apabila contengan perkataan terbabit memenuhi sekeliling kenderaan itu.
Seorang penduduk, Murad Sulaiman, 40, berkata, dia berasa kurang senang dengan contengan terbabit di tempat awam sedemikian, kerana disifatkan tidak munasabah.
“Rasanya, tidak ada kena mengena, namun tempat awam dilihat tidak terlepas dari menjadi mangsa provokasi individu tertentu. Jadi, keadaan ini dikhuatiri mencetuskan kekecohan.
“Demi kebaikan bersama, sepatutnya perkataan mahupun perbuatan yang mendorong ke arah provokasi perlu dielakkan bagi mengelakkan ketegangan,” katanya.
Katanya, dia berharap perbuatan menconteng sedemikian tidak berulang kembali, manakala sesiapa berniat melakukannya diminta menghentikannya kerana didakwa mampu menimbulkan kemarahan ramai.
Sebelum ini, seorang pengawal keselamatan menyedari sebahagian dinding Pejabat Umno Kedah di Bangunan Tunku, dekat sini, disembur perkataan R4masi 2.0 berwarna merah, sebelum membuat laporan polis.
Bagaimanapun, rakaman kamera keselamatan litar tertutup (CCTV) sempat merakamkan tindakan dua lelaki menyembur cacat pada dinding bangunan terbabit.
Suspek melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini sambil memakai topi dan bertopeng dipercayai untuk menyembunyikan wajah sebenar mereka.
Antara premis yang menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab ini ialah Maybank Alor Setar, sekitar Langkawi, Jerai, Pendang dan sebuah van milik Umno di Kubang Pasu.